MOHD Badhri Radzi nama yang tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak khususnya Kelantan. Memiliki kemahiran sepakan percuma yang mengingatkan kepada lagenda bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha.

Namun kejayaan Badhri Radzi mungkin lebih bersinar setelah berjaya menjulang beberapa piala iaitu Piala Malaysia 2010, Piala Sumbangsih 2011 & Juara Liga Super Malaysia 2011-2012.

Pemain yang dilahirkan pada 02 Jun 1982 ini terus diburu beberapa pasukan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 dengan tawaran lumayan namun pemain yang turut dikenali Piya ini mengambil keputusan tetap setia bersama Kelantan.

Mudah mesra dan senang didekati, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini sebenarnya memiliki misi tersendiri bagi musim 2018 dan mengharapkan impian tersebut menjadi kenyataan.

Akhiri zaman bujang

Piya yang dilihat antara tunjang utama The Red Warriors (TRW) dan ketua pasukan, mengesahkan dirinya bakal menamatkan zaman bujang pada tahun depan dengan mengahwini gadis pilihannya sendiri.

Jelasnya, dia bukan menolak jodoh tetapi tidak mahu tergegas-gesa kerana keputusan berkenaan membabitkan banyak pihak dan masih dalam proses berkawan serta mahu mengenali hati budi gadis berkenaan secara lebih dekat.

“Kalau ada rezeki mungkin tahun depan. Kalau tiada apa-apa... Insya Allah tahun depan saya akan berkahwin dengan orang Kota Bharu. Dia bukan kenalan saya dari bangku sekolah atau peminat saya tetapi kami sudah lama kenal.

“Kami sudah lama berkenalan tetapi jarang berjumpa dan sekarang kami sedang berkawan serta ingin mengenali dengan lebih rapat. Bagaimanapun, hubungan kami tidak terlalu serius tetapi kalau ada jodoh insya Allah saya akan berkahwin dengannya pada 2018,” katanya ditemui sempena pelancaran kasut jenama Adidas, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Badri yang lebih dikenali sebagai Piya masih mahu berahsi mengenai siapakan dan kerjaya gadis Kelantan yang berjaya ‘mencuri’ dan mengisi kekosongan hatinya berkenaan.

Yakin kepimpinan baharu

Mengenai perkembangan kerjayaannya Badhri percaya pemilihan Bibi Ramjani Ilias Khan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan kemasukan pemain muda akan menyuntik semangat baharu kepada skuad TRW musim depan.

“Saya yakin satu fenomena baharu akan tercetus musim depan kerana Presiden baharu Kafa, Bibi Ramjani mungkin  melakukan sesuatu untuk memastikan TRW kembali memberi saingan kepada pasukan lain dalam kancah Liga Super.

“Insya Allah kalau boleh saya mahu kekal bersama Kelantan sehingga ke penghujung kerjaya sebagai pemain bola sepak. Sebelum ini memang saya ada dapat tawaran dari beberapa negeri lain tetapi saya menolaknya kerana kesetiaan dan mahu menghabiskan kerjaya bersama Kelantan.

“Saya jangkakan akan terus bermain bola sepak dan mewakili Kelantan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi (sebelum bersara sebagai pemain bola) dan menumpukan perhatian kepada bidang lain. Bagi saya selagi kudrat dan tenaga masih ada saya akan terus bermain dan mewakili Kelantan kerana dari kecil hingga besar saya hanya minat sukan bola sepak.

“Dulu saya pernah hidup susah sehingga rezeki datang menerusi sukan bola sepak dan mewakili Kelantan,” kata Badhri yang pernah dinobatkan sebagai Anugerah Tengah Terbaik dan Pemain Paling Bernilai di Liga Malaysia, pada 2013.

Badhri turut berkongsi kenangannya paling manis sepanjang bersama Kelantan adalah apabila TRW muncul juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia sekali gus, pada musim 2012, manakala paling pahit adalah apabila Kelantan tewas 0-1 kepada Pahang dalam aksi final bagi merebut Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, pada 2013.

“Saya harap semua pemain Kelantan terutama mereka yang masih muda dapat melakukan sesuatu dan bermain bersungguh untuk menaikkan kembali maruah TRW pada musim depan,” jelasnya.