PASUKAN professional benua Iran, Pishgaman akan kembali mempertahankan gelaran juara individu, raja bukit dan berpasukan keseluruhan pada Jelajah Malaysia 2017 yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 7 Oktober depan.

Perkhabaran gembira ini dinyatakan penganjur, Life Pro Fit Sdn Bhd dimana pasukan profesional benua dari Iran itu akan tampil dengan sasaran untuk mempertahankan tiga gelaran yang dimenangi dalam perlumbaan tahun lalu itu.

Pishgaman adalah antara 20 pasukan yang mengesahkan penyertaan bagi perlumbaan edisi ke-53 berstatus 2.2 dalam kalendar UCI Asia Tour itu, bersama-sama sebuah lagi pasukan dari Iran, Tabriz Shahrdary.

Selain dua pasukan Iran itu, jelajah kali ini turut dihangatkan dengan penyertaan KFC Cycling Team dari Indonesia, Infinite AIS Cycling Team (Singapura), Aisan Racing Team (Jepun), Thailand Continental Cycling (Thailand), 7 Eleven Roadbike (Filipina), KSPO Bianchi (Korea Selatan) dan dua pasukan profesional benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team.

Satu pasukan kelab CCN Cycling (Laos) turut disenaraikan.

Dua pasukan kebangsaan, Malaysia dan Brunei akan turut menghantar pelumba, selain tujuh pasukan tempatan iaitu PDRM-G, ATM, Selangor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Life Pro Fit Sdn Bhd, Noraidiazhar Sulaiman berkata, penyertaan 11 pasukan bertaraf profesional benua itu, selain tujuh (7) pasukan tempatan dan dua (2) pasukan kebangsaan bakal menghangatkan perebutan lima jersi yang menjadi taruhan serta gelaran juara berpasukan keseluruhan di sepanjang lima hari perlumbaan.

“Dengan kehadiran juara bertahan pasukan Pishgaman, kami jangkakan persaingan akan tetap sengit kerana pasukan lain pasti mahu membuktikan sesuatu dan menyekat dominasi pasukan itu pada edisi kali ini.

“Malah, peminat tempatan juga pasti berharap dua wakil profesional benua negara, TSG dan Sapura Cycling dapat menenggelamkan cabaran pasukan Pishgaman dan Tabriz Shahrdary dari Iran yang diakui begitu handal di laluan berbukit,” katanya.

Noraidiazhar berkata, pihaknya belum mengumumkan lokasi dan lima laluan untuk jelajah kali ini, yang pada awalnya dijangka meliputi tiga negeri.

“Pasukan teknikal Jelajah Malaysia 2017 kini sedang memuktamadkan lokasi permulaan, penamat dan laluan bagi menyeimbangkan perebutan jersi kelabu (pelumba muda terbaik), polka dot (raja bukit), hijau (raja pecut) dan merah (pelumba terbaik Malaysia) yang menjadi rebutan kali ini.

“Kami sedang mengenal pasti lokasi permulaan, penamat dan laluan yang akan digunakan nanti tetapi yang pasti, laluan di sepanjang perlumbaan nanti tetap mencabar setiap pelumba,”ujarnya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :