ADAKAH anda memulakan hari anda dengan dikejutkan oleh loceng dari jam telefon pintar anda?

Besar kemungkinan, anda kemudiannya melayari laman media sosial sejurus sahaja setelah bangun pagi! Apakah kemungkinan anda mengakhiri hari anda dengan memeriksa telefon pintar anda sekali lagi, hanya sebagai penutup kepada hari anda yang sibuk? Sekiranya anda merasakan bahawa situasi di atas menggambarkan gaya hidup anda, anda tidak keseorangan.

Ini merupakan fenomena dunia yang kian meningkat, dan Malaysia tidak terkecuali.

Rakyat Malaysia meluangkan lebih daripada 5 hingga 8 jam sehari menatap skrin digital dan ini termasuklah pendedahan kepada pelbagai jenis peralatan seperti komputer riba, komputer, telefon pintar, tablet dan televisyen.

Skrin-multi, atau penggunaan pelbagai skrin digital, merupakan amalan harian yang disesuaikan oleh populasi digital Malaysia yang kian meningkat dalam mendapatkan berita dan maklumat, dan dalam menjalankan tugas-tugas mereka di tempat kerja.

Jadi ikutan masa kini 

Jumlah ini selari dengan trend penggunaan digital di Asia yang menunjukkan bahawa warga Asia meluangkan masa secara purata sebanyak 439 minit atau lebih daripada 7 jam sehari menatap skrin digital, dan daripada jumlah tersebut, tempoh selama 2 jam diluangkan untuk menatap skrin kedua tatkala menonton TV.

Walaupun kebergantungan kita ke atas teknologi untuk menjalani kehidupan harian kita telah membawakan pelbagai kemudahan dan ketersambungan, ia juga membawa pelbagai kesan berbahaya kepada kesihatan antaranya termasuklah tekanan digital terhadap mata.

Tekanan digital terhadap mata merupakan ketidakselesaan yang mempunyai ciri-ciri kekeringan, kerengsaan, serta penglihatan yang kabur yang dapat kita rasakan setelah menatap lebih daripada satu skrin digital untuk tempoh yang lama secara berterusan.

Jejas kemampuan dan kebolehan

Kekerapan tekanan digital terhadap mata boleh mengakibatkan Kondisi Mata Kering, yang, apabila tidak diselesaikan, boleh mengakibatkan masalah jangka masa panjang terhadap penglihatan seseorang dan dapat menjejaskan kebolehan seseorang dalam menjalankan aktiviti harian, malah menjejaskan kemampuan seseorang untuk memandu dan membaca.

Pakar Oftalmologi di Columbia Asia Klang, Dr Siva Kumar Sundralingam berkata, satu lapisan air mata yang nipis sepatutnya menyaluti permukaan mata setiap kali kita mengebilkan mata.

“Apabila seseorang mempunyai masalah mata kering, kelenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang secukupnya untuk melembapkan dan melindungi mata, dan ini mengakibatkan ketidakselesaan dan kerengsaan.

“Ini boleh diakibatkan daripada pendedahan yang terlalu lama dan berpanjangan, atau apa yang kita gelar tekanan digital terhadap mata. Apabila ini tidak dielakkan, ia boleh mengakibatkan efek jangka masa panjang yang berbahaya serta impak secara langsung kepada kondisi kesihatan mata seseorang,”ujarnya.

Petua mudah elakkan mata kekeringan

Teknologi sememangnya banyak kelebihannya namun ia perlu digunakan secara bertanggungjawab untuk mengelakkan efek berbahaya kepada kesihatan kita. Berikut merupakan petua-petua mudah yang dapat anda sertakan dalam amalan harian anda untuk mengelakkan mata anda daripada kekeringan dan tekanan :-

• Merehatkan mata daripada menatap skrin setiap 20 minit, walaupun untuk tempoh yang sekejap.

• Mengurangkan kadar terang komputer atau telefon pintar anda kepada tahap yang selesa bagi mata anda.

• Menggunakan skrin digital daripada jarak yang selesa dan mengelakkan daripada menatapnya terlalu dekat.