"Bari" atau "Baros" dalam bahasa Yunani moden bermaksud berat, beban, gemuk. Pembedahan bariatrik adalah pembedahan untuk obesiti. Pembedahan bariatrik pada masa ini adalah satu-satunya kaedah penurunan berat badan yang berkesan dan berkekalan untuk mereka yang mengalami kesukaran untuk menurunkan berat badan walaupun dengan mengawal kadar pemakanan mahupun juga dengan bersenam.

Seseorang yang obes cenderung mengalami berbagai masalah perubatan seperti diabetes, hipertensi, hyperkolesterol dan sebagainya. Maka pembedahan bariatrik bukan hanya untuk obesiti, tetapi juga memperbaiki atau menyembuhkan keadaan-keadaan tersebut. Malah, pembedahan ini juga dirujuk sebagai pembedahan bariatrik dan metabolik.

Terdapat pelbagai jenis pembedahan yang bukan sahaja mengurangkan jumlah pengambilan makanan, malah ia juga mengurangkan kesan hormon badan dalam proses mengehadkan penyerapan & pencernaan makanan.

Jenis pembedahan berikut adalah:

(a)“Sleeve Gastrectomy”

Tujuan prosedur ini untuk mengurangkan saiz perut. Ini akan membantu mengurangkan jumlah pengambilan makanan. Prosedur ini melibatkan pembuangan sebahagian besar usus perut dengan tujuan memperkecilkan size usus perut selamanya.

(b)“Roux-En-Y Gastric Bypass (RYGB)”

Prosedur ini mewujudkan sebuah kantung perut kecil (beg) yang akan mengakibatkan ruangan atas usus perut kecil dan ruangan bawah yang lebih besar. Usus kecil kemudiannya akan dibahagikan pada panjang tertentu (biasanya sekitar 100cm dari duodenum).

Prosedur ini tidak melibatkan penyingkiran mana-mana bahagian perut atau usus. Jumlah pemakanan akan dikurangkan. Makanan yang memasuki bahagian perut akan memintas duodenum (bahagian pertama usus kecil) dan jejunum (bahagian tengah usus kecil) ke bahagian akhir usus perut kecil. Ini akan melambatkan pencernaan dan penyerapan makanan.

(c)“Adjustable gastric band” atau Band Gastrik Boleh Dilaras

Cara prosedur ini dilaksanakan ialah, sebuah belon kembung dimasukkan ke bahagian atas usus perut. Belon tersebut disemat ke sebuah sisi yang diwujudkan di bawah kulit bahagian perut yang boleh dilaras. Tujuan belon ini adalah untuk mewujudkan sebuah kantung kecil. Kantung ini pula membantu mengehadkan jumlah pengambilan makanan dan juga menangguhkan makanan daripada memasuki isi perut yang tinggal. Proses ini akan mempercepatkan seseorang itu berasa kenyang.

Kesan kepada badan

Matlamat akhir ialah penurunan berat badan. Dalam proses ini, tubuh kita mungkin akan mengalami beberapa perubahan fisiologi disebabkan oleh sekatan diet. Bagi pesakit kencing manis, kawalan glukosa akan ketara bertambah baik. Jumlah remisi yang diperhati adalah dalam 80-90% pesakit dengan selebihnya mempunyai peningkatan yang ketara dalam kawalan gula.

Dalam proses kekurusan berat yang berlebihan, kulit mungkin akan menjadi kendur. Keguguran rambut mungkin berlaku terutamanya apabila pengambilan makanan tidak terfokus pada protein. Kekurangan vitamin mungkin berlaku jika pesakit tidak mengambil suplemen vitamin yang disyorkan.

Walau bagaimanapun, pembedahan bariatrik dapat memberi penambahbaikan atau pembalikan yang jelas dari segi kesihatan seseorang, terutamanya Diabetes Mellitus, Hipertensi, ‘Hyperlipidaemia’, ‘Obstructive Sleep Apnea’ dan lain-lain. Malah, perubahan boleh juga dilihat dalam ‘Polycystic Ovarian Syndrome’ – dari peringkat infertiliti kembali subur.

Kualiti keseluruhan kehidupan dan aspek sosial seseorang itu akan bertambah baik.

Memerangi Obesiti

Tiada sebarang pembedahan, diet atau ubat yang boleh memberi penawar yang kekal untuk masalah obesiti. Pembedahan bariatrik bersama dengan pengubahsuaian gaya hidup, boleh menawarkan hasil jangka panjang yang baik untuk kesihatan dan berat badan. Ia membantu mempercepatkan penurunan berat badan terutamanya pada mereka yang mengalami obesiti dengan mobiliti terhad dan tidak dapat melakukan sebarang senaman.

Jadi pilihan

Pembedahan ini diberi perhatian pada awal 1950-an, ketika seorang pesakit sedang menjalani pembedahan ‘Hemigastrectomy’ (penyingkiran sebahagian perut). Pesakit itu juga mengalami penyakit kencing manis. Masalah kencing manisnya itu kemudian mengalami perubahan cepat dan makin ketara bertambah baik. Hanya selepas kira-kira 40 tahun kemudian, di masa 1990-an, lebih banyak bilangan kajian diterbitkan mengenai pembedahan bariatrik dan efek positifnya. Semenjak itu, penyelidikan terperinci dan teknik baru diperkenalkan.

Golongan sesuai

Mereka yang obes dan memenuhi kriteria tertentu. Cadangan umum di Malaysia oleh jawatankuasa pakar adalah:

(i)Obesiti morbid tanpa penyakit lain dengan mempunyai BMI> 37.5

(ii)Obesiti morbid dengan penyakit-penyakit lain (seperti subfertiliti, sakit sendi atau tulang belakang yang berkaitan dengan masalah obesiti, dan lain-lain) dengan mempunyai

BMI> 32.5

(iii)Obesiti morbid dengan sindrom metabolik (diabetes mellitus, hipertensi, peningkatan tahap kolesterol) dengan BMI> 32.5

(iv)Umur yang boleh diterima iaitu antara 18 hingga 65 tahun

Gaya hidup sihat

Pembedahan bariatrik tidak akan menurunkan kadar obesiti. Kesedaran mengenai obesiti dan gaya hidup sihat adalah kunci untuk mengurangkan kadar obesiti di negara kita.

Pembedahan bariatrik dapat membantu mereka yang memerlukan surgeri ini untuk meningkatkan kesejahteraan umum dan kualiti hidup keseluruhan dalam jangka yang panjang.