BUKAN sekadar memiliki raut wajah tampan, malah dia juga bijak dalam menutur butir bicara. Memulakan karier ketika berusia 18 tahun melalui iklan komersil yang memerlukannya berlakon sebagai pengacara, Ahmad Nabil Ahmad Mahir kini semakin dikenali dalam dunia seni.

Dianggap antara pengacara generasi baharu yang berkaliber dan yang wajar diberikan perhatian, Ahmad Nabil pernah melalui pengalaman yang mendewasakannya sehingga berada ditahap ini, namun anak muda berusia 29 tahun ini tetap merendah diri dengan apa yang dimiliki.

Langkah awal

Menceritakan babak awal pembabitannya, Nabil berdepan dengan kesukaran namun semua itu menjadikannya untuk terus bersemangat mengharungi arus kehidupan.

“Perjalanan karier saya bermula sejak dari umur 18 tahun lagi. Masa itu saya terlibat dalam satu iklan komersil yang memerlukan saya berlakon menjadi pengacara.

“Saya memang tiada bakat dalam seni pengacaraan. Gagap dah lidah terkelu bila berdepan kamera namun saya buat keputusan untuk menceburi bidang ini. Pelik bukan?

“Memang saya sukakan sesuatu yang dapat overcome kelemahan diri saya kerana saya percaya, hanya dengan cara ini sahaja saya boleh lihat tahap kemampuan diri saya sendiri.

“Sehingga hari ini, saya sedikit sibuk dengan urusan kerja di mana saya mengacarakan satu program televisyen,” jelasnya.

Bukan kerja mudah

Menjadi pengacara bukanlah tugas mudah, lantas Nabil banyak mendapat nasihat dan tunjuk ajar dari Datuk Aznil Nawawi (Pak Nil).

“Harus sentiasa fokus dan bersedia dalam apa jua situasi.

Untuk melahirkan sebuah pengacara yang berkualiti itu bagi saya mungkin mengambil masa.

“Banyak belajar dan memperbaiki diri menerusi kelas bersama mentor utama saya, Pak Nil di mana saya di ajar mengenai teknik pengacaraan, vokal, dan segala aspek yang berkaitan dengan dunia pengacaraan.

“Pak Nil juga selalu berpesan untuk sentiasa bersedia dalam apa jua situasi. Untuk menjadi seorang pengacara berkualiti, tugas bukan hanya tertumpu dalam studio, mungkin juga di luar studio.

“Bagi saya, kriteria untuk menjadi pengacara yang baik adalah dengan menjadi diri sendiri dan sentiasa cepat menyesuaikan diri dengan keadaan dan bijak mencari solusi jika ada masalah. Selain itu, sentiasa fokus dalam apa jua tugasan,” katanya yang lahir pada 28 April 1988.

Perlu sesuaikan diri

“Seorang pengacara harus bersedia setiap masa, saya tidak tertumpu pada satu gaya sahaja. Kadang kala ia berubah-ubah mengikut keadaan cuaca dan mood saya.

“Kalau dahulu warna pilihan saya lebih berwarna-warni, tetapi sekarang saya lebih gemarkan warna-warna asas seperti hitam, kelabu dan putih.

“Bagi penjagaan kesihatan, saya akan ke gimnasium dalam tiga kali seminggu.

Mengenai diet pula, saya tidak ada pelan diet yang saya ikut. Walaupun saya mengambil beberapa supplement, tetapi saya tidak mengawal tahap makan saya. Cuma, kuning telur sahaja yang saya tidak makan kerana kuning telur mengandungi tahap kolesterol yang tinggi," ujarnya.

Miliki impian

Memasang impian bergandingan dengan pengacara Nabil Ahmad, pemilik Sarjana Pendidikan HELP ini percaya untuk berada ditahap tersebut memerlukan kerja keras tanpa lelah.

“Ini impian saya, kerana dia mempunyai ciri-ciri seorang pengacara yang berkualiti tinggi.

Berkaliber, lihat sahaja kejayaannya menjadi pengacara untuk anugerah berprestij Oscar.

Itu bukti dia adalah pengacara yang bagus serta versatil. Dia punya kelas tersendiri,” jelasnya yang memiliki ketinggian 170 sm ini.

PROFIL RINGKAS

• Nama Penuh : Ahmad Nabil Ahmad Mahir

• Tarikh Lahir : 28 April 1988

• Ketinggian : 170 sm

• Berat : 64 kg

• Hobi : Sukan Paintball, Go Kart,

Tenis dan seni mempertahankan diri.

• Kerjaya : Pengacaraan dan Peragaan

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :