SEDEKAD berada di Indonesia bukanlah satu tempoh masa yang pendek. Bagi Miller Khan menetap dan mengembangkan bakat di Jakarta tidak sama sekali diimpikannya sejak mula terlibat dalam bidang seni.

Semuanya dianggap kebetulan namun dia reda yang rezekinya kini lebih tertumpu di negara seberang berbanding tanah air sendiri. Tidak pernah menyesal sebaliknya ini adalah fasa untuk terus membina nama dalam kelompok artis disana.

Itulah pendirian Milner atau nama sebenarnya, Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan, 30, yang bakal berkongsi suka duka pengalaman kehidupannya bersama Sisipan Maskulin sehingga hari ini.

PERMULAAN KARIER

Dalam tempoh 11 tahun di Indonesia banyak perkara dilalui yang membuatnya matang dan menghadapi cabaran dengan lebih terbuka.

“Bermula sebagai model, pelakon sinetron, filem serta terlibat dalam iklan komersial dan video klip semata-mata mahu memperkenalkan nama di sana. Nampaknya semua berjalan lancar dan penerimaan peminat di sana pun sangat baik.

MULA PERCAYA

Miller berpuas hati kerana kebanyakan penerbit dan pengarah mula mempercayai bakatnya, walaupun persaingan sengit tapi dirinya yakin bersandarkan kepada bakat, ia sesekali tidak menghalang rezeki.

“Saya kini lebih memfokuskan kepada filem, dahulu memang banyak terlibat dengan sinetron. Hinggakan untuk berehat pun tidak sempat kerana komitmen. Lokasi penggambaran dianggap rumah kedua.

“Oleh kerana tidak cukup rehat saya pernah jatuh sakit. Semua itu saya lalui kerana ia atas kehendak diri untuk menempa nama dalam industri lakonan. Sebab itu saya berhasrat untuk berlakon filem sahaja buat masa ini di samping dapat menerima tawaran lain,” jelasnya.

MASIH SEBATI

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur yang berdarah kacukan Cina-Arab-Pakistan ini, walaupun tinggal di negara orang, adat dan budaya Melayu tetap sebati dalam jiwa.

“Ramai yang anggap saya berasal dari Indonesia. Mungkin perwatakan dan cara percakapan. Apa sahaja tanggapan orang sekeliling saya tidak ambil kisah asalkan tidak menjejaskan nama baik saya dan keluarga.

Miller Khan. - Foto oleh AZMAN @ NANA

“Ibu pun antara insan yang sentiasa memahami keadaan saya dan dialah yang menjadi penasihat utama jika saya mempunyai masalah.

 “Sekarang saya sedang dalam proses untuk mendekati jiwa peminat Malaysia dan berharap mereka boleh menerima kehadiran saya tanpa membuat perbandingan dengan mana-mana artis lain.

“Saya nak bawa imej yang sebenar dan tidak mahu hipokrit dengan mereka. Apa-apa pun saya kena bersedia dan berharap kemunculan saya nanti akan memberi satu aura positif terhadap industri hiburan tanah air,” ujarnya yang mengharapkan tuah 2017.

MASA DEPAN

Di sebalik kisah kejayaannya dalam industri hiburan di Indonesia, Miller kini telah mula beralih ke bidang bisnes sebagai salah satu persediaan untuk masa depannya.

Bisnes pengurusan artis menjadi pilihan kerana lebih dekat dengan jiwa. Ini antara salah satu kejayaan yang saya capai tahun ini. Dengan adanya syarikat pengurusan artis ini, saya ingin membantu artis Malaysia yang berminat untuk masuk ke Indonesia

“Bukan setakat bisnes, saya juga telah berjaya mengumpul pelbagai aset sepanjang berada di sana, apabila dah mula mencapai usia pertengahan saya akan kurangkan aktiviti lakonan dan mahu memberi tumpuan pada keluarga pula.

“Setakat ini saya tidak mengehadkan umur untuk berlakon. Selagi ada peluang saya akan ambil. Jika saya tidak berlakon selepas ini pun, bidang pengarahan menjadi pilihan.  

“Setidak-tidaknya saya masih lagi boleh menyumbang sesuatu yang berharga hasil karya sendiri selepas ini. Ini antara matlamat saya sejak belajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” katanya.

Profil Ringkas

Nama penuh : Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan

Nama panggilan  : Miller Khan

Tarikh lahir : 3 Mac 1987

Umur : 30 tahun

Kerjaya : Model, pelakon

Artikel berkaitan yang patut anda baca :