PENYERTAAN hampir 3500 peserta dari dalam dan luar negara pada larian Educity Sundown Marathon Iskandar 2017 baru-baru ini membuktikan semangat cintakan kesukanan dan kesihatan dalam kehidupan.

Acara yang ditaja sepenuhnya EduCity Iskandar Malaysia – hab pendidikan bersepadu di Johor disertai pelumba-pelumba antarabangsa dari Australia, Amerika Syarikat, Great Britain, Nepal, Indonesia, Singapura, China, Perancis, India, Iran, Jepun, Macau, Belanda, Filipina dan Afrika Selatan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata, Educity Sundown Marathon Iskandar 2017 adalah sebahagian daripada inisiatif IIB untuk meletakkan Iskandar Puteri sebagai destinasi sukan pilihan selain mempromosikan gaya hidup yang sihat.

“Ia juga meraikan Iskandar Puteri yang kini diisytiharkan dengan status bandar. Melangkah ke hadapan, IIB akan membawa lebih banyak acara sukan di Iskandar Puteri sepanjang 2017 - 2018. Ini sekaligus menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab dan destinasi sukan di rantau ini, terutamanya dengan Sukma yang akan dihoskan Johor pada 2020,” jelasnya.

Pengarah acara, Mohd Bukhari Ismail berkata, lebih 4,000 orang mengunjungi Race Village pada kali ini yang membuktikan komitmen tinggi dari peserta mahu pun pengunjung.

“Sudah tentu kami teruja dengan jumlah kehadiran yang besar ini. Ia menunjukkan larian waktu malam adalah pilihan utama untuk komuniti maraton serta mereka yang ingin memulakan gaya hidup sihat dengan cara berlari,” ujarnya.

Larian dimulakan dengan pelepasan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Adib Azhari ditemani Pengarah Urusan EduCity Iskandar Malaysia, Joanne Oei Wen Li dan , Ketua Pegawai Eksekutif Sukma Johor, Noorazam Osman serta pegawai-pegawai kerajaan.

Peserta untuk larian 5km, 10km, 21.1km (maraton separuh) dan 42.195 (maraton penuh) dilepaskan berperingkat bermula jam 8.30 malam, 9.30 malam, 10.30 malam dan 10 malam.

Kategori acara maraton penuh lelaki dimenangi Mohamad Izam Shah Zainal Abidin dari Malaysia dengan catatan masa 03:23:03 menewaskan dua pelari British, Henry De Renzy-Martin dan Christopher Timms yang masing-masing mencatatkan masa 03:24:22 dan 03:43:02.

Bagi kategori wanita pula, peserta dari Malaysia Esther Yong Keow Lee bergelar juara selepas menamatkan larian dengan catatan 04:20:11. Seorang lagi peserta Malaysia, Tan Hong Wee di tempat kedua sementara Aileen Ho dari Singapura di tangga ketiga.