SELEPAS berakhirnya aksi peringkat kumpulan Kejohanan Liga Juara-Juara Selangor 2017 (SCL2017), lapan pasukan meneruskan buruan gelaran kejuraan juara musim ini.

Empat pasukan dari Kumpulan A iaitu Kajang Ultimate FC, Klang Southern FC, Shah Alam Condoh FC dan PJ Level Up FC telah mengesahkan slot ke perlawanan suku akhir.

Bagi Kumpulan B pula,  Hartamas Rebel FC, PIB FC, Axis O2 PJ FC dan Empayar Bangi FC turut membawa misi memburu kejuaraan.

Kajang Ultimate FC/Empayar Bangi FC

Selain Hartamas Rebel FC dari kumpulan B, Kajang Ultimate FC dari kumpulan A merupakan pasukan mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan. Tujuh kemenangan dari lapan dengan purata dua gol dijaringkan setiap perlawanan membuktikan kemampuan pasukan dari Kajang ini.

Empayar Bangi FC juga bukan calang-calang pasukan. Memiliki unit pertahanan kukuh yang membolehkan mereka muncul pasukan keempat terbaik dari kumpulan B.

PIB FC/Shah Alam Condoh FC

Selepas tewas dua perlawanan pembukaan, PIB FC sukar dibendung. Mereka mencatatkan enam kemenangan berturut-turut, menjaringkan 12 gol dan hanya bolos dua gol.

Kekuatan mereka terletak kepada pertahanan yang tersusun pimpinan Batharul Zaman, persembahan bertenaga Amirul Ashraff di jentera tengah dan ketajaman penyudah Mamadou Berete di depan gol.

Shah Alam Condoh FC pula merupakan pasukan yang pada mulanya tidak diberi harapan besar untuk melangkah jauh sebelum mencipta kejutan demi kejutan apabila menewaskan Klang Southern FC dan Naga FC dalam laluan mereka ke suku akhir. Jika persembahan pertahanan Muhammad As’syaqireen dan Razali Elbish berada pada tahap maksimum, mereka mampu memberi satu lagi kejutan kepada PIB FC.

Hartamas Rebel FC/PJ Level Up FC

Kecewa dalam perlawanan akhir edisi tahun lepas, Hartamas Rebel FC kembali sekali lagi pada musim ini dengan satu misi – menjadi juara. Berdasarkan kekuatan mereka di semua bahagian, misi tersebut nampak tak mustahil.

Tiada siapa di kumpulan B yang mampu mengawal pergerakan Faye Jacque dan Norismaidham Ismail di jentera tengah. Mbeguere Medina pula Nampak berada satu kelas di atas berbanding pemain-pemain pasukan lain.

Jika ada satu perkara yang perlu dipuji tentang pasukan dari PJ Level Up FC, ia adalah kekuatan mental mereka. Selepas tewas tiga perlawanan kumpulan berturut-turut, Sharran Raj, Indera Sukmadan Matthew Devaraj memberi persembahan berinspirasi untuk mengutip 10 mata daripada 12 mata maksimum – sekaligus melayakkan mereka keperingkat suku akhir sebagai pasukan keempat terbaik dari kumpulan A.

Klang Southern FC/Axis O2 PJ FC

Kemenangan besar 6-1 ke atas Kajang AZS FC pada hari pembukaan kejohanan, Klang Southern FC menepati status pasukan pilihan mereka untuk layak ke suku akhir sebagai pasukan kedua terbaik dari kumpulan A.

Prestasi mereka banyak bergantung kepada penyudah cemerlang Kizito Somadina di depan gol, Jeremy Danker dan Carlos Goonting di jentera tengahdan kekebalan Okechukwu George di bahagian kubu pertahanan.

Axis O2 PJ FC juga menepati status pasukan pilihan mereka untuk layak ke suku akhir sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan B. Persembahan cemerlang dua ayam tambatan mereka, Adli Zulgafli dan Lucky Ogu bertanggungjawab membawa 5 kemenangan daripada 8 perlawanan kumpulan kepada pasukan Petaling Jaya ini.

Keputusan perlawanan minggu lepas

Kumpulan A
PJ Level Up FC 3-0 Ampang ATY Serayan FC
Shah Alam Condoh FC 3-1 Naga FC
Ampang  ATY Serayan 0-5 Puchong Fuerza FC
Naga FC 1-2 PJ Level Up FC
Kajang Ultimate FC 2-1 Klang Southern FC
Ingress Penchala FC 1-4 Shah Alam Condoh FC

Kumpulan B
Shah Alam United FC 0-2 PIB FC
Axis O2 PJ FC 1-0 Empayar Bangi FC
PIB FC 3-0 TTDI Terrapins FC
Empayar Bangi FC 2-2 Shah Alam United FC
Gombak Klasiko FC 3-3 Subang Protap FT
Hartamas Rebel FC 6-1 Axis O2 PJ FC

Perlawanan suku akhir:

Jumaat, 24 November 2017
Kajang Ultimate FC vs Empayar Bangi FC (8.45pm)
PIB FC vs Shah Alam Condoh FC (10.45pm)

Sabtu, 25 November 2017
Hartamas Rebel FC vs PJ Level Up FC (8.45pm)
Klang Southern FC vs Axis O2 PJ FC (10.45pm)