HAL Husaini Razmi atau lebih dikenali sebagai Hael Azhael atau Hael Husaini merupakan seorang penyanyi remaja yang menyanyikan lagu-lagu bergenrekan pop. Mula menceburi industri seni suara setelah bergelar Naib Juara Akademi Fantasia Musim 10.

Pada 2017, Hael Husaini telah mengeluarkan kenyataan pengunduran diri dari kumpulan duo Azhael di laman instagram pada 2 Februari 2017 namun akan tetap meneruskan aktiviti seni namun secara solo.

Ternyata keputusan tersebut yang diakuinya berat untuk dilakukan, kini telah pun membuahkan hasil. Bergerak secara solo, Hael bebas melakar karier seni seperti apa yang didambakannya selama ini.  

Lagu debut nyanyiannya berjudul "Hentian Terakhir" yang dicipta sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Damien VE berjaya melonjakkan namanya satu ketika dahulu, namun kini Heal Husaini sekali lagi melakar nama dengan lagu berhantunya ‘Jampi’.

Cukup berbakat, anak muda yang baru sahaja menjadi ayah ini semakin rancak dengan kerjaya seninya. Kini dia merancang untuk memastikan kerjaya seninya terus dipandang serius masyarakat di samping meletakkan dirinya sebaris anak seni disegani di negara ini.

LUASKAN CABANG

Terbabit secara serius dalam penulisan lirik lagu bukan bermakna, Hael Husaini melupakan dunia nyanyian kerana baginya kedua-duanya memiliki kesinambungan.

“Saya sedang melangkah lebih serius dalam penulisan lirik lagu, di antara lagu yang kini hit ialah ‘Nisan Cinta’ nyanyian Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, ‘Dia’ nyanyian Dayang Nurfaizah dan bakal menyusul sebuah lagu nyanyian Datin Alyah.

“Bukanlah petanda untuk terus meninggalkan dunia nyanyian dan memberi fokus sepenuhnya dalam menggubah lagu, sebaliknya ini salah satu cabang muzik yang benar-benar saya gemari dan ingin sumbangkan. Tidak salah untuk berkarya dan berikan hasil tangan yang berkualiti untuk dipersembahkan kepada khalayak,” ujarnya.

JADI SEBUTAN

Bukanlah terlalu baru di dalam industri ini, saya melihat perkembangan industri muzik kita  semakin hebat dan sinergi. Masing-masing mempersembahkan suatu yang berbeza dan unik. Jadi saya sebagai insan kerdil mahu dilihat bersinar bukanlah mudah, jadi saya perlukan mantera yang sesuai untuk tampil berbeza, maka terbitlah ‘Jampi’ melonjakkan nama saya dari zon selesa ke alam realiti.

‘Jampi’ adalah karya yang dihasilkan bersama Ezra Kong kini menjadi kegilaan penggemar muzik tempatan, sekali gus membuatkan khalayak mahu mengenali saya lebih dekat lagi. Sangat terharu dengan sambutan yang diberikan, tambahan lagu ini menjadi runut bunyi sebuah drama bersiri menambahkan lagi fenomena terhadap lagu ini.

TERIMA KRITIKAN  

Tidak pernah terkilan, saya menganggap perjalanan jauh saya selama ini telah membuahkan hasil. Jika dahulu orang tidak melihat bakat yang saya ada, kini mereka sudah mula mendekati dan memahami muzik yang saya bawakan.

Tidak sekalipun berkecil hati, setiap hari bagi saya adalah proses pembelajaran, dari kosong saya kini sudah boleh menarik nafas lega, namun itu semua bukan bererti saya sudah boleh berehat. Sebaliknya saya akan terus berikan suatu yang baru, hebat dan berkualiti selepas ini.

Masih segar, saya pernah menghadiri uji bakat One In A Million musim pertama pada tahun 2006 dan dikritik hebat oleh juri program, Paul Moss yang mengatakan suara saya sangat teruk dan tidak boleh menyanyi langsung. Walaupun pedih untuk diterima tetapi saya jadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk lebih banyak belajar dan tidak pernah putus asa.

Hari ini, saya mampu berdiri di atas nama sendiri sebagai seorang penyanyi, katanya yang masih menghadiri kelas vokal kerana percaya ilmu tidak pernah habis untuk dipelajari.

ANAK SENI BERKUALITI

Sebagai anak seni, bukan mudah untuk  kekal dan disenangi. Apabila anda sudah mula disayangi, banyak hati perlu anda jaga dan pelihara. Tidak boleh sewenangnya anda bersikap negatif dan perlu lebih disiplin untuk tidak menyusahkan sesiapa yang bekerja dengan anda. Jadi lebih profesional dan jangan sesekali sombong dengan apa yang anda ada. Cuba jadi diri sendiri dan anda akan lebih selesa untuk bekerja, di samping karier anda juga senang diterima orang.

INGINKAN IMPIAN

“Saya sangat inginkan sebuah bekerjasama bersama komposer hebat seperti Faizal Tahir dan Aubrey Suwito, kerana mereka adalah insan terpilih yang sentiasa tampil dengan idea baru dan magis untuk anak seni tempatan. Saya juga ingin jadi seperti mereka suatu hari nanti.

“Saya sangat cintakan setiap penjuru dalam dunia muzik ini dan akan mencuba melakukan semua yang berkaitan dengannya dengan sebaik mungkin.

“Cabang seni ini luas, jangan tersekat di satu tempat sahaja, saya akan explore segenap ruang yang ada, saya masih muda, banyak lagi harus saya buktikan,” jelasnya.