Menurut Persatuan Glaukoma Antarabangsa, Glaukoma ialah nama yang diberikan kepada sekumpulan penyakit mata di mana saraf utama mata (saraf optik) rosak dan menyebabkan kehilangan penglihatan.

Saraf ini membawa maklumat tentang apa yang dilihat dari mata ke otak dan apabila ia semakin terjejas, daya penglihatan turut terjejas. Kesannya ialah penglihatan yang berkabut dan tidak sekata, yang akhirnya menyebabkan kehilangan penglihatan pusat, walaupun keadaan ini jarang berlaku.

Glaukoma kini semakin lazim dan menjadi punca utama buta, seiring peningkatan usia penduduk dunia. Statistik baru yang dikumpulkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menunjukkan bahawa glaukoma adalah punca buta kedua terutama di peringkat global selepas katarak.

Dianggarkan bahawa menjelang 2020 terdapat kira-kira 80 juta orang yang menghidap glaukoma, iaitu peningkatan sebanyak 20 juta sejak 2010.

Tambahan lagi, dianggarkan bahawa pada masa ini, lebih 8 juta orang yang menjadi buta bilateral akibat glaukoma, angka yang dijangka meningkat kepada lebih 11 juta menjelang 2020 memandangkan kadar kelazimannya yang terus meningkat, melainkan pemeriksaan dan strategi rawatan lebih berkesan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Terdapat empat jenis glaukoma yang utama iaitu glaukoma sudut terbuka utama, glaukoma penutupan sudut utama, glaukoma sekunder dan glaukoma perkembangan.

Glaukoma Sudut Terbuka Utama  (POAG) ialah bentuk glaukoma paling umum di mana kerosakan biasanya disebabkan tekanan terlalu tinggi di dalam mata (tekanan intraokular atau IOP). Peningkatan tekanan biasanya disebabkan penyaliran keluar cecair yang kurang baik dari mata, yang diperlukan untuk fungsi mata yang sihat.

Tekanan lebih tinggi merosakkan saraf optik (saraf penglihatan) dengan mengurangkan jumlah darah yang boleh melalui saluran darah kecil yang menjadi pembekal kepada saraf dan juga memampatkan saraf itu sendiri.

Bagaimana untuk mengesan Glaukoma ?

Pengesanan awal menjadi kunci kepada pengurusan dan usaha mengurangkan kesan glaukoma.  Justeru, pemeriksaan berkala disyorkan terutamanya apabila memasuki usia emas. Beberapa gejala glaukoma termasuk penglihatan kabur, sakit mata dan/atau kepala, loya atau muntah-muntah, kemunculan lingkaran pelangi di keliling cahaya terang, dan dalam kes yang lampau, kehilangan penglihatan secara tiba-tiba.  

Walaupun sebarang penglihatan yang hilang kerana glaukoma tidak boleh pulih, diagnosis awal, pemantauan teliti dan rawatan berkala membolehkan sebilangan besar pesakit glaukoma mengekalkan tahap penglihatan yang berguna untuk hidup. Satu-satunya cara untuk anda mengenal pasti glaukoma ialah memeriksa mata anda di pakar oftalmologi berhampiran. Tiga ujian umum termasuk:

1.Oftalmoskopi:Melihat penampilan saraf utama dalam mata (saraf optik)

2.Tonometri:Mengukur tekanan dalam mata

3.Perimetri:Memeriksa medan penglihatan

Rawatan Glaukoma

Sebahagian besar pesakit glaukoma akan dirawat dengan titisan mata. Jika titisan mata tidak berkesan untuk mengurangkan tekanan mata, rawatan laser atau pembedahan glaukoma mungkin diperlukan.