MUSIM 2017 merupakan tahun gemilang buat Kedah apabila mendominasikan anugerah pada majlis Anugerah Kebangsaan 2017 (ABK2017) yang diadakan Jumaat lalu.

Meraih sembilan anugerah dari 20 kategori yang dipertandingan membuktikan pasukan diberi gelaran Lang Merah yang mempamerkan aksi konsisten dan berkualiti dalam saingan Liga Malaysia 2017 ternyata tepat.

JADI TUMPUAN

Tumpuan pastinya terarah kepada perancang tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar  apabila meraih anugerah tertinggi iaitu Pemain Paling Bernilai 2017.

Selain meraih anugerah utama ABK 2017 itu, pemain tengah kebangsaan itu turut dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super musim ini dengan meledak sembilan gol.

Ternyata sumbangannya ketika membantu pasukan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Piala Sumbangsih dan menundukkan Pahang di final FA membolehkan pemain berusia 29 tahun ini menerima pengiktirafan tersebut.

Penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim terus mengharumkan nama Kedah apabila dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala perancang tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dinobatkan Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular musim ini.

Kedah terus mendominasi majlis anugerah itu apabila turut meraih tiga anugerah sampingan iaitu Penyokong Terbaik, Pasukan Terbaik dan Laman Sosial Terbaik.

IMPIAN TERCAPAI

Baddrol yang ditemui berkata, anugerah terbabit memang sudah lama menjadi impiannya dan kini dia mengakui puas selepas berjaya merangku gelaran Pemain Paling Bernilai itu.

Baddrol tekad menjadikan anugerah yang diraih sebagai pemangkin kejayaan masa depan. - FOTO ROSLI TALIB

"Saya bersyukur kepada Allah dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong perjalanan karier saya.

"Anugerah ini sudah pasti akan menjadi pemangkin semangat untuk saya memberikan aksi yang lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

RAIH ANUGERAH

Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik pula menjadi milik bek kanan Pahang, Matthew Davies sementara penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri menewaskan Amri Yahyah dan Syafiq Ahmad untuk merangkul anugerah Penyerang Terbaik.

Bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan yang mengendalikan Felda United seperti dijangka muncul selaku Jurulatih Terbaik sementara bekas pertahanan Selangor yang menyertai skuad Harimau Selatan musim depan, Adam Nor Azlin meraih gelaran Pemain Muda Harapan.

Pemain import JDT, Mohammed Ghaddar mengesahkan status selaku penggempur berbisa Liga Super dengan 23 gol sekali gus melayakkan penyerang Lubnan itu merangkul gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super.

Mohammed Ghaddar meraih gelaran penjaring import terbanyak Liga Super. - FOTO ROSLI TALIB

Penjaring Terbanyak Liga Premier pula menjadi milik penyerang Kuala Lumpur, Guillherme de Paula yang menjaringkan 27 gol buat skuad The Hawks itu.

Liridon dan De Paula antara pemain yang mempamerkan aksi cemerlang musim ini. - FOTO ROSLI TALIB

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier pula menjadi milik penyerang Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff yang meledak 15 gol sementara pendatang baharu Liga Perdana, T-Team FC dianugerahkan Anugerah Fair Play.