MULA mencipta nama selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut pada saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin kini terus melonjak mencipta reputasi dalam dunia perlumbaan jentera dua roda.

Anak muda kelahiran Johor Bahru ini dianggap prosepek baharu berdasarkan rekodnya di gelanggang tempatan lebih hebat daripada para pelumba handalan lain.

Pembabitan awal

Bakat Kasma Daniel dikesan sedari usianya masih muda lagi, lantas dia dianugerahkan ‘lesen khas’ oleh AAM untuk berlumba seawal usia 12 tahun. Peluang itu telah diambil sebaik mungkin oleh Kasma Daniel, yang nyata dia tiada tandingan pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Menjelang usia 16 tahun, Kasma Daniel sudah bergelar juara keseluruhan untuk CP-115 dan Perdana C-130.

Musim ini, Kasma Daniel akan mengikut jejak pelumba Petronas Raceline Malaysia itu untuk memulakan karier pada kejohanan berprestij Sepanyol, yang dianggap sebagai kejohanan remaja dunia.

Walaupun bersaing di Sepanyol, Kasma Daniel tetap menyuarakan komitmen untuk mengungguli pentas Cub Prix tempatan dan mengakui misi di Sepanyol sesuatu yang yang mencabar.

Panjat kesyukuran

Kasma Daniel yang sering ditemani bapanya ke setiap perlumbaan amat bersyukur kerana mendapat tajaan dan kepercayaan Petronas untuk mengejar impian bergelar pelumba profesional dan cukup berbangga membawa nama pasukan Petronas Yamaha Maju Motor yang tidak pernah berhenti berusaha keras menyediakan jentera yang kompetitif untuk para pelumbanya.

Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2, Johor Bahru turut mengakui bahawa pelajaran adalah amat penting selain daripada usahanya untuk menjadi seorang pelumba profesional seperti idolanya, Valentino Rossi.

Meniti perjalanan

Kepantasannya sukar dihalang, apatah lagi apabila berjaya meraih kemenangan tiga kali berturut-turut yang juga satu kebanggaan kemenangan kelima peribadinya untuk musim 2017 selepas menjuarai perlumbaan CP150 dalam pusingan ke-7, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017.

Namun, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor ini tidak sekalipun terlena dengan setiap kejayaan diraih mudah. Berterusan bersedia dan tidak mudah rasa selesa, Daniel menjadikan setiap hari adalah masa untuknya mencari ilmu dan berlatih demi menjadi yang terbaik.

“Saya tidak mahu sekadar bertanding, menang dan dikenali, saya mahukan ilmu di sebalik setiap perlumbaan. Apa yang boleh bawa balik untuk pasukan negara saya akan cuba kongsikan.

Aksi Kasma ketika menyertai Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017.

“Musim 2017 adalah tahun paling mencabar buat saya, bukan sahaja perlu beraksi dalam misi mempertahankan gelaran kebangsaan, malah turut melangkah ke saingan antarabangsa dalam Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV. Misi merangkul kejuaraan kelas CP150 dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas berakhir dengan suatu yang manis.

“Aksi cemerlang pada saingan Asia membolehkan saya menerima peluang menjalani latihan di Akademi VR46 sebanyak dua kali.

“Walaupun masih baru dalam jentera Moto3, saya akan cepat menyesuaikan diri dan berikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” jelas anak ketiga dari empat beradik ini.

Valentino rossi

Daniel cukup bertuah tatkala namanya di antara yang terpilih untuk mengikuti kelas latihan bersama pelumba hebat Valentino Rossi. Teruja untuk berguru dengan pelumba terbaik dunia ini, Daniel merasakan itu adalah saat emas untuknya mendapatkan sebanyak mungkin ilmu di Kem Master, VR46 Riders Academy, milik pelumba kelahiran Itali itu di Tavullia.

Kem tersebut adalah bertujuan mengasah bakat pelumba muda itu turut disertai oleh empat lagi pelumba Yamaha,  Peerapong Loiboonpeng dari Thailand, Galang Hendra Pratama dan Imanuel Putra Pratna (Indonesia) dan Soichiro Minamimoto (Jepun) berdasarkan persembahan cemerlang di dalam siri perlumbaan Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia 2016.

“Itu adalah peluang yang amat ditunggu-tunggu oleh saya ketika itu, kerana ini adalah salah satu usaha saya demi meningkatkan lagi kualiti tunggangan dalam mana-mana kejohanan yang bakal disertai kelak. Sangat bersyukur kerana terpilih untuk menyertai program tersebut.

“Majoriti pelumba yang terpilih adalah dalam kalangan penunggang Itali merangkumi kejuaraan Moto3 dan Moto2. Jadi saya rasa sangat bertuah kerana diberi ruang untuk menuntut ilmu bersama pelumba-pelumba hebat di sana,” ujarnya.

Hala tuju

Bicara mengenai hala tuju selepas musim 2017 berakhir, Kasma yang turut beraksi dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia di Sepanyol pada musim ini menjelaskan,

“Perancangan ketika ini sudah ada dan perbincangan tentangnya juga sedang berjalan, saya meletakkan keputusan kepada pasukan untuk menentukan hala tuju saya selepas musim 2017 berakhir.

“Buat masa ini, saya mahu menikmati dan meraikan kejayaan saya bersama pasukan, keluarga dan penyokong saya. Selepas semuanya berakhir, barulah saya akan memikirkan tentang musim hadapan,” tegasnya.