KASMA Daniel Kasmayuddin berada dalam kelas tersendiri selepas mencatat nama selaku pelumba pertama muncul juara keseluruhan dalam tiga kategori berbeza secara berturut-turut sebaik pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2017 melabuhkan tirai di Dataran Bandar Penawar, Johor, baru-baru ini.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Motor yang telah pun mengesahkan gelaran keseluruhan sebaik pusingan kesembilan di Pulau Pinang berakhir, awal November mengakhiri musim 2017 dengan mengumpul 138 mata keseluruhan termasuk lima gelaran juara.

Bagaimanapun, hasrat pelumba kelahiran Johor itu untuk menamatkan musim dengan muncul juara di laman sendiri tidak kesampaian setelah sekadar berada di kedudukan keempat yang menyaksikan kemenangan menjadi milik rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli dengan masa keseluruhan 19’42.832s. Tempat kedua menjadi milik Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 19’43.972s.

Sementara itu, dalam kategori CP115, Md Akid Aziz yang telah pun bergelar juara keseluruhan menamatkan musim 2017 dengan cemerlang apabila meraih kemenangan keenam peribadi untuk mengumpul 180 mata keseluruhan.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 15’29.993s diikuti Ahmad Syukran Aizat (Petronas Sprinta Yamaha – CKJ) kedua, 15’30.301s dan rakan sepasukan Akid, Md Haziq Md Fairues ketiga, 15’31.807s. Haziq kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 123 mata diikuti Syukran ketiga, 114 mata.

Bagi buruan gelaran juara keseluruhan kategori Wira pula berakhir dengan penuh dramatik apabila Md Aiman Tahiruddin akhirnya ditabalkan selaku juara keseluruhan meskipun tidak beraksi pada perlumbaan akhir pada pusingan terakhir.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha – AFB Tech sebelum itu mengalami masalah jentera sewaktu sesi kelayakan dan tidak layak ke perlumbaan akhir bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga ke pusingan terakhir sebelum pencabar utama, Md Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing) yang memerlukan kemenangan untuk merampas gelaran juara mengalami masalah jentera pada pusingan terakhir ketika sedang bersaing sengit bersama-sama Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing).

Kedudukan Keseluruhan CP150

* Kasma Daniel Kasmayudin / Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (138 mata)

* Ahmad Afif Amran / Petronas Sprinta Yamaha – CKJ (107 mata)

* Md Ramdan Rosli / Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (95 mata)

* 4 Ahmad Fazli Sham / Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (84 mata)

* 5 Md Azhar Abd Jalil /  Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 77 mata

* Kedudukan Keseluruhan CP115

* Md Akid Aziz / Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (180 mata)

* Md Haziq Md Fairues / Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor (123 mata)

* Ahmad Syukran Aizat / Petronas Sprinta Yamaha – CKJ (114 mata)

* Tengku Amirul Haffirudin / Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing (78 mata)

5-Nazirul Izzat Md Bahauddin / Petronas  Sprinta Yamaha – CKJ (70 mata)