SUKAN Asia Tenggarajuga dikenali sebagaiSukan Sea merupakan sebuah temasya sukan dwi-tahunan yang membabitkan 11 negaraAsia Tenggara yang diadakan dua tahun sekali.

Pada asalnya, Sukan Sea diberi namaSukan Semenanjung Asia TenggaraatauSukan SEAP yang membabitkan penyertaan 11 negara iaitu, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Vitenam, Brunei, Indonesia, Filipina dan Timor Leste.

Sukan SEAP pertama diadakan diBangkok,Thailanddari 12 hingga 17 Disember 1959 dan disertai seramai 527 atlet dan pegawai rasmi dari Thailand, Burma, Malaysia, Singapura, Vietnam Selatan, dan Laos mengambil bahagian dalam 12 jenis sukan.

Selepas menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Sea pada 1977, 1989 dan 2001, Malaysia sekali lagi dipilih tahun ini untuk menganjurkan acara dwi tahunan yang merupakan kali keempat semenjak kejohanan diadakan.

Pada temasya dua tahun lalu di Singapura, kontinjen Malaysia mempamerkan prestasi luar biasa apabila mengutip keseluruhan 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa.

Pencapaian 62 pingat emas itu berjaya mengatasi kutipan 40 emas pada edisi 2009 di Laos, 2011 di Indonesia (58 emas) dan 2013 di Myanmar dengan 43 pingat emas.

Kejayaan kontinjen negara di Singapura merupakan pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas.

Jadi ingatan

Sukan Sea 2001 pasti akan menjadi ingatan bukan sahaja kerana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah tetapi juga pencapaian 111 pingat emas diraih atlet negara yang merupakan pungutan tertinggi pembabitan kontinjen negara di temasya dwitahunan rantau ini.

Pada temasya 2001 itu, kontinjen negara juga mencatat 75 pingat perak dan 85 gangsa. Pastinya temasya ke 29 yang bakal dibuka secara rasmi pada 19 Ogos nanti memberi cabaran baharu buat Majlis Sukan Negara (MSN) yang dilihat organisasi terpenting dalam memastikan kejayaan Malaysia di bumi sendiri buat kali keempat.

Sudah pasti bila berbicara mengenai MSN, individu yang paling tepat ditemuramah untuk mengetahui perkembangan atlet-atlet Malaysia ialah Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Diamanahkan memegang tampuk MSN pada 19 Disember lalu bagi menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong yang kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ahmad Shapawi memulakan kerjaya selaku Pegawai Bahagian Latihan Atlet di MSN pada 1988 dengan jawatan tertinggi selaku Pengarah Bahagian Atlet pada 2007 yang membolehkannya terbabit secara langsung dalam Program Jaya '98, Gemilang 2001 dan Doha 2006.

Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pesuruhjaya Sukan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara.

Tugas berat Temasya Sukan ke-29 yang akan dibuka secara rasmi minggu hadapan pastinya bukan satu tugas mudah buat Ahmad Shapawi dan kepimpinan lain MSN dalam usaha memastikan matlamat kejuaraan keseluruhan menjadi milik Malaysia.

Jelasnya, seramai 871 atlet Malaysia yang dibahagikan kepada enam cawangan mengikut bidang sukan, iaitu tempur, raket, kekuatan dan kuasa, berpasukan, air dan kemahiran akan menggalas cabaran pada temasya kali ini.

“Sukan tempur ialah taekwondo, karate, silat, wushu, tinju, lawan pedang, muay dan judo. Raket merangkumi tenis, skuasy, badminton dan ping pong manakala sukan air adalah terjun, renang, renang irama, polo air, ski air, renang laut terbuka dan pelayaran.

“Memanah, gimnastik artistik, gimnastik berirama, snuker dan billiard, menembak, boling tenpin, boling padang, petanque, golf, ekuestrian dan polo membentuk sukan kemahiran manakala berpasukan adalah hoki, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, futsal, bola tampar, kriket, hoki ais dan ragbi.

“Sukan membabitkan kekuatan dan kuasa ialah lumba basikal, angkat berat, olahraga, luncur ais dan triathlon,” katanya ketika ditemui di perhimpunan akhir atlet Kontinjen Juara negara di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Balas kepercayaan

Pada masa sama Ahmad Shapawi turut berkongsi pengalaman peringkat awal pembentukan program Kita Juara pada September 2015, pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam memastikan atlet diberi ruang memperbaiki prestasi.

“Selepas temasya di Singapura, kerajaan memberi banyak keistimewaan kepada KBS untuk memastikan kecemerlangan sukan melalui peruntukan kewangan dan pelbagai program untuk mengenal pasti serta mengetengahkan bakat-bakat dalam acara sukan.

“Bajet beberapa kementerian terpaksa dipotong disebabkan kegawatan ekonomi tetapi tidak di KBS.

“Jadi lihatlah apa yang telah kerajaan lakukan untuk memastikan perancangan berjalan dengan lancar, sebagai atlet,” katanya.

Lantas Ahmad Shapawi yang ternyata mudah didekati dan mesra dengan media mahu atlet membalas kepercayaan dan amanah yang diberikan rakyat Malaysia dengan kalungan pingat emas.

“Kesemua 871 atlet yang terpilih mewakili negara pada temasya dwitahunan yang kali keenam diadakan di laman sendiri ini, seharusnya membalas kepercayaan dengan mencapai kemenangan serta membantu Malaysia muncul juara keseluruhan.

“Anda harus berasa bangga dan bertuah menjadi antara yang terbaik mewakili Malaysia. Sematkan mentaliti return on trust atau membalas amanah dan kepercayaan yang selama ini disediakan oleh MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), rakyat, Kerajaan dan negara,” katanya.

Ahmad Shapawi juga mahu kesemua atlet yang mewakili negara menjaga imej sepanjang temasya di laman sendiri.

“Sepanjang temasya anda semua akan diperhatikan dari segenap aspek, jadi jagalah amanah yang diberikan, beri tumpuan penuh sepanjang perlawanan kerana penonton memerhatikan.

“Seandainya kita gagal mencapai kejayaan selepas mempamerkan aksi berkualiti, itu memang tidak mengapa tetapi jika sebaliknya ia umpama mengkhianati amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :