Hadir dengan pakej lengkap, John Tan pelakon yang baru dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan di Festival Filem Malaysia ke - 29 menerusi watak Ah Boy dalam filem You Mean The World To Me ini telah membuka mata masyarakat akan wujudnya butir bakat yang harus dipandang tinggi umum.

Memiliki identiti serta personaliti berbeza dari pelakon sedia ada. Rendah diri serta mudah berkomunikasi menjadi pemudah cara buat kariernya meluncur laju di dalam industri seni tanah air.

Inilah bukti bahawa penghayatannya cukup berkesan dalam menyampaikan mesej tersirat buat fahaman penonton. Memiliki peluang cerah dalam industri lakonan tempatan, wataknya sebagai Ah Boy dilihat sebagai penghidup inspirasi persis watak Stephen Hawking lakonan Eddie Redmayne menerusi filem The Theory of Everything.

KENALI JOHN TAN

“Saya dahulu memiliki bentuk badan yang sangat gemuk. Agak besar, bukan seperti sekarang. Apabila saya melanjutkan pelajaran saya di Universiti Sains Malaysia, dari situ barulah saya mula kurus dan aktif dengan dunia bina badan.

“Walaupun saya seorang yang bertubuh besar dan suka makan, saya sangat aktif bersukan, selain itu saya sukakan aktiviti hijau seperti berkebun.

“Saya memang budak kampung, gemar akan keindahan alam. Jika saya melancong, saya lebih gemar memilih lokasi hijau dan nyaman, contohnya New Zealand kerana ia sangat menenangkan fikiran.

“Maklumlah, apabila kita sudah penat bekerja, ada waktunya kita mahukan ketenangan. Bagi saya, ketenangan hadir apabila saya melihat benda-benda hijau, binatang dan sebagainya.

“Pada tahun 2000, saya memulakan karier saya sebagai seorang model. Mungkin jika pertama kali berjumpa, orang ramai akan menganggap diri saya susah untuk didekati dan sukar bergaul. Tanggapan itu salah, kerana saya seorang yang sangat peramah!” jelasnya.

BARU BERMULA

“Saya memang tidak menjangka sebarang kemenangan pada malam itu. Tercalon dalam senarai Top 5 juga sudah membuatkan saya berasa bangga. Apabila mereka mengumumkan nama saya sebagai pemenang, saya jadi kaku seketika. Tidak percaya!

“Kemenangan ini saya simpulkan sebagai lambang semangat buat diri saya untuk pergi lebih jauh. Sudah tentu, saya berharap dengan kemenangan ini membuka lebih banyak ruang melebarkan lagi kerjaya seni saya terutamanya dalam pasaran Melayu.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan, anugerah ini juga menjadi bukti bahawa lakonan saya berhasil dan saya berjaya membawanya dengan sangat baik. Seolah-olah memberi semangat yang baru, dalam kata lain, ia ialah supplement untuk diri saya,” katanya.

IDENTITI YANG BERBEZA

“Watak Ah Boy yang saya bawakan adalah sebuah identiti yang berbeza dari diri saya. Jadi proses untuk mempersiapkan diri saya dari segi mental dan fizikal mengambil masa yang agak lama.

“Filem ini merupakan filem pertama saya. Jadi saya harus bekerja keras untuk memberikan yang terbaik. Sebelum ini saya lebih aktif dalam dunia teater. Jadi, saya langsung tidak tahu mengenai dunia lakonan. Prosesnya mengambil masa dalam enam bulan. Bukan mudah sebenarnya untuk membawa watak Ah Boy.

“Dari gaya bertutur, bahasa badan serta personalitinya sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri saya. Saya akui, sepanjang dalam proses melakonkan watak ini, saya lebih suka menyendiri. Tidak suka keluar, malah tidak ada selera untuk makan,” ujar John Tan  

INDUSTRI KITA

“Jika mahu berdiskusi soal industri kita hari ini, tidak keterlaluan jika saya katakan ia dipengaruhi jumlah populasi. Sebagai contoh, pasaran Cina, coraknya sedikit terhad. Apabila saya melihat corak pasaran Melayu, ia berbeza. Luas dan besar serta sangat variasi. Jadi ini semua amat penting dalam merangka strategi karier saya. Di mana arah tuju saya, esok dan akan datang.”

“Saya juga mengerti, rata-rata dari masyarakat kita terutamanya golongan muda mengimpikan karier sebagai seorang pelakon ataupun selebriti. Jika kamu hanya melihat sisi glamor dunia seni ini, kamu salah belaka.

“Untuk menjadi seorang pelakon mahupun penghibur, prosesnya bukanlah mudah. Bagi yang baru berusia belasan, saya kira ada baiknya jika kamu menghabiskan pelajaran dahulu. Tanpa ilmu yang cukup, kamu tidak bisa pergi ke mana-mana,” tegasnya.

PROJEK SETERUSNYA

John Tan memaklumkan dirinya kini dalam rangka persediaan filem terbaharu 2018 yang bakal membuat pengembaraan di Malaysia, Filipina dan China.

“Projek ini lebih kepada kerjasama antara negara Malaysia dan China. Mungkin apabila semuanya sudah selesai, baru saya boleh kongsikan keseluruhan mengenai projek ini.

“Sesungguhnya, saya mengharapkan sesuatu yang positif dalam karier saya. Bermula dengan lakonan saya dalam filem You Mean The World To Me, dan kemenangan sulung saya di FFM-29, kini saya harap lakonan saya akan lebih diterima terutamanya penggiat seni filem mahupun drama Melayu,” katanya.