FIGURA ini antara permata negara yang harus disanjung. Mana tidaknya, beliau adalah rakyat Malaysia pertama yang mendapat anugerah Order of the British Empire OBE (Knighthood) oleh Permaisuri England, Queen Elizabeth II .

Melihat atas sumbangannya dalam dunia fesyen, beliau juga

turut dianugerahkan gelaran ‘Profesor’ oleh University of Arts London, juga mendapat

anugerah yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di- Pertuan Agong, (Almarhum) Tuanku Abdul Halim atas kejayaannya dalam bidang fesyen.

Tidak pernah lekang senyuman dan ada ketikanya gemar berjenaka, menjadikan keadaan lebih selesa dan mudah. Itulah Datuk Jimmy Choo Yeang Keat.

Langkah permulaan

“Siapa kata untuk mencipta kejayaan itu mudah? Saya kira setiap pengalaman yang ditimba dari bawah, itulah kunci kepada kejayaan saya hari ini.

Jujurnya, saya tidak dilahirkan dalam keluarga yang mewah. Serba sederhana.

“Namun, kelebihan yang saya miliki adalah ayah saya seorang pereka kasut. Jadi dari situ, saya mula belajar bagaimana untuk membuat kasut. Dari segi penghasilan bentuk, warna serta fabrikasi, semuanya telah saya belajar sejak kecil. Kemahiran adalah kunci dalam keluarga saya, dan dengan kemahiran itulah menjadikan siapa saya hari ini.

“Usah mengeluh, kerana semua ini memberi saya pengalaman yang berharga dan mendekatkan saya dengan nilai tanggungjawab itu.

“Jangan pernah berkira dalam melakukan tugas anda. Sentiasa fokus dalam menjalankan tanggungjawab serta tugas yang diberi. Itu adalah kunci untuk berjaya,” tegas Jimmy Choo, yang tidak pernah lupa memori saat pertama kali menjejakkan kaki di kota London.

Rentak industri

Pengalaman beliau selama berkecimpung dalam dunia fesyen tidak perlu disangkal lagi dengan melihat industri pada masa kini sudah berbeza.

“Industri hari ini tidak seperti 10 tahun yang lepas.

Jika dahulu, orang kurang memandang fesyen kita. Pereka kita juga kurang dikenali.

Namun, hari ini semuanya berubah. Semuanya bebas berkarya dalam meletakkan simbol inspirasi dalam rekaan masingmasing.

“Hari ini begitu banyak platform yang kita berikan kepada mereka yang ingin bergelar pereka fesyen, sebagai contoh Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), terutamanya pereka muda.

“Pendedahan ini kita berikan secara eksklusif kepada mereka yang ingin menempa nama dalam industri serba sengit ini,” ujarnya.

Pandangan berbeza

“Lelaki hari ini punya visi yang berbeza. Imaginasi mereka kadangkala lebih menarik dari pereka wanita. Mereka hari ini boleh berbicara mengenai fesyen 24 jam, dan secara realitinya, mereka ingin tampil menarik setiap masa.

“Jadi, tidak hairanlah mengapa kaum lelaki bisa menguasai dunia fesyen hari ini. Saya tidak mengatakan bahawa pereka wanita itu tidak bagus, namun kadangkala, pereka lelaki lebih memahami konsep berfesyen wanita, kerana seperti yang saya katakan, ada masanya imaginasi mereka kadangkala lebih menarik dari pereka wanita,” katanya.

Cabaran

“Setiap perkara yang kita lakukan itu sudah pasti punya cabaran tersendiri. Kadang ada yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran. Namun jika ingin berjaya, harus sentiasa cekal dan sabar dalam mengharungi cabaran yang datang.

“Permulaan itu kadang menyakitkan, kita semua harus bijak mencari peluang. Harus berjumpa dengan mereka yang bekerja di dalam industri. Apa yang

penting, harus sentiasa menimba pengalaman sebanyak mungkin,” jelasnya.

Perlu pengalaman

“Saya panggil mereka ini (pereka baru) sebagai master saya. Bukan kerana apa tetapi saya lihat idea mereka ini lebih baik dari saya. Lebih fresh dan moden. Tambahan pula dengan adanya bantuan teknologi tinggi hari ini tidak mustahil untuk menghasilkan rekaan yang serba unik dan pelik, namun menarik mata yang memandang. Ini adalah sesuatu yang positif bagi saya.

“Cumanya, kadangkala pereka baru ini kurang pengalaman dalam skop kerja mereka. Bagi saya, pengalaman itu penting. Tidak kira berapa jauh kamu mahu menimba pengalaman, namun itulah kuncinya untuk berjaya.Harus mula dari bawah,” ujarnya.

Nasihat

“Apa yang penting adalah respek. Tidak kiralah setinggi mana pun kamu berada, respect itu harus ada. Kenapa harus ada perasaan ego itu? Saya percaya semuanya karma.

“Bila kita menghormati orang, secara tidak langusng, orang akan menghormati kamu. Letakkan nilai intergiti dalam setiap perkara yang kita lakukan.

“Saya sentiasa meletakkan negara Malaysia sebagai perkara utama saya, kerana saya adalah rakyat Malaysia.

Hati dan jiwa saya masih di sini, walaupun saya selalu ke luar negara, namun saya masih rakyat Malaysia! Saya bangga dengan negara saya sendiri, dan kerana itulah saya perjuangkan fesyen di Malaysia,” ujarnya yang tidak lokek memberikan nasihat.