PASUKAN Bola Sepak Felcra FC (Felcra FC) bukanlah satu nama asing lagi dalam kancah bola sepak tanah air. Kejayaan pasukan ini melahirkan pemain-pemain yang berkualiti seperti Ketua Pasukan Bola Sepak Malaysia Bawah 22 Tahun, Muhamad Adib Zainuddin dan penyerang sensasi negara, N Thanabalan melonjakkan lagi nama Felcra FC selepas berakhirnya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Di sebalik semua kejayaan tersebut, ia sebenarnya bermula dari kegigihan seorang insan yang merupakan watak penting dalam pasukan iaitu Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad.

Kesuntukan masa dengan jadual tugasan hakiki yang padat sebagai Pegawai Khas kepada Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Sri Bung Moktar Radin, tidak membataskan masa beliau untuk sentiasa bersama pasukan pada setiap sesi perlawanan yang dijadualkan serta kelibatnya yang sentiasa turun padang bagi melihat pasukan menjalani latihan harian.

Kesemuanya ini menjadikan Datuk Hazian Murad begitu istimewa di mata para pemain dan pengurusan Felcra FC.

Cabaran terbesar dalam hidup

Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana tanpa berkesempatan merasa erti kasih sayang seorang ayah menjadikan beliau sangat matang dalam usia muda. Beliau sering melakukan pelbagai kerja sampingan seawal usia muda bagi menampung perbelanjaan harian dan persekolahan.

Cita-cita untuk menjadi anak kebanggaan ibunya yang boleh membalas segala jasa yang telah dicurahkan sering menjadi azimat dalam dirinya untuk terus gigih melangkah memajukan diri tanpa mengira penat lelah.

“Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Ibu saya yang membesarkan saya di kota raya Kuala Lumpur yang penuh dengan cabaran. Seawal usia saya di sekolah menengah, saya telah berdikari mencari duit sendiri dengan melakukan kerja-kerja sampingan bagi menampung keperluan diri dan tidak membebani ibu saya.

“Alhamdulillah, pengalaman sebegini yang menjadikan saya kuat untuk terus berdiri sehingga ke hari ini bagi menempuh segala cabaran dan dugaan dalam hidup ini.

“Definasi sebuah kejayaan bagi diri saya adalah apabila, sebagai seorang anak kita dapat melihat kegembiraan di wajah kedua ibu bapa kita dan menjaga mereka dengan sebaiknya selain sentiasa menghormati orang tua”, jelasnya.

Harapan untuk Felcra FC

Meletakkan meletakkan harapan tinggi agar Felcra FC dapat layak ke peringkat yang lebih tinggi dalam Liga Malaysia, Hazian juga ingin melihat Felcra FC mempunyai kemudahan infrastruktur latihan yang setaraf dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), di mana ia boleh dimanfaatkan bagi pembangunan bakat anak-anak peserta Felcra.

“Besarlah harapan saya untuk melihat kelab yang saya jaga sekarang layak ke peringkat yang lebih tinggi dalam Liga Malaysia di samping mempunyai kemudahan latihan terbaik sebagaimana dimiliki JDT.

“Ini adalah bagi memberi peluang kepada anak-anak peserta Felcra yang berada di luar bandar merasai kemudahan latihan yang terbaik dan bertaraf dunia. Ini akan dapat meningkatkan potensi mereka untuk lebih memajukan diri ke arah yang lebih baik," katanya.