HAMPIR 13 tahun berada di pasaran tempatan, minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult bukanlah satu nama asing di Malaysia baik diperingkat kanak-kanak mahupun dewasa.

Penglibatan Yakult dalam dunia sukan dan kesihatan Malaysia bermula apabila syarikat ini mula menaja pasukan bola sepak Kelantan, memberi pengiktirafan kepada wira bola sepak Sukan Sea 2017, N Thanabalan dan ratu terjun negara, Pandalela Renong serta penglibatan syarikat ini dalam program aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang melibatkan aktiviti sukan.

Kemuncak bagi usaha ini apabila minuman Yakult dinobat dengan pengiktirafan sebagai Minuman Kultur Probiotik Institut Sukan Negara (ISN).

Disebalik semua kejayaan gemilang ini, peranan dimainkan Hiroshi Hamada yang merupakan Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd tidak dapat dinafikan kerana berjaya memastikan Yakult terus dikenali di Malaysia.

Sukan sebagai keutamaan

Memiliki Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Osaka, Jepun, Hamada menyifatkan minat dalam bidang sukan membuatkan dirinya terpanggil untuk menyumbang sesuatu kea rah pembangunan sukan.

“Saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola keranjang professional berikutan kebolehan saya bermain sukan tersebut dengan baik.

“Namun segalanya berubah semasa melanjutkan pelajaran di peringkat menengah apabila mula menyedari bahawa saya tidak mempunyai bakat mewakili sukan ini terutamanya melibatkan peringkat yang lebih tinggi.

“Bermula saat itu, saya berazam untuk mula aktif dan melibatkan diri untuk memberi sumbangan dalam bidang sukan walaupun diri ini bukanlah seorang atlet,” jelasnya yang menjadikan bidang sukan sebagai keutamaan bagi syarikat ini.

Akar umbi

Diminta mengulas mengenai pembangunan bola sepak di Malaysia, Hamada yang dilahirkan di Osaka, Jepun melihat pelaburan dan sokongan diperingkat akar umbi harus diberikan keutamaan.

“Malaysia memerlukan lebih pendedahan di peringkat antarabangsa di samping pelaburan dan sokongan terhadap pembangunan bola sepak akar umbi khususnya pembangunan pasukan bawah 12 tahun.

“Pasukan yang bertanding di Liga Malaysia juga perlu lebih mendekatkan diri mereka dengan komuniti tempatan untuk menarik minat generasi muda meminati sukan bola sepak,” jelasnya.

Sasaran 2018

Untuk 2018, Yakult Malaysia berazam untuk menjadi minuman probiotik pertama di Malaysia di samping meningkatkan penglibatan dalam pembangunan sukan dan kesihatan Negara. Pelbagai aktiviti sukan telah di rancang selaras dengan usaha Yakult yang ingin melahirkan masyarakat Malaysia yang sohat dengan bersukan.

“Kami telah bersetuju menjadi salah satu penaja kepada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) 2018  dengan tajaan sebanyak 30,000 botol yakult kepada atlet yang bertanding serta pakej percutian ke Jepun bagi Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2018 nanti.

“Program bakal di anjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Februari 2018 melibatkan penyertaan lebih 100 buah Institusi Pengajian Tinggi tanah air,” jelasnya.

Erti kejayaan

“Kejayaan pada seseorang boleh ditafsirkan dengan pandangan masing-masing, namun bagi saya erti kejayaan apabila dapat menolong dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan,” katanya yang gemar mendaki gunung dan berenang.

Profil ringkas

Nama : Hiroshi Hamada

Umur : 50 Tahun

Jawatan : Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd

Tempat Lahir : Osaka, Jepun

Pendidikan : Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Osaka, Jepun

Idola : Ayah

Hobi : Mendaki Gunung, Berenang