SETIAP kejayaan yang dikecap kini adalah kunci untuk membuka pintu ruang baru. Percaya setiap peluang itu punya nilai aspirasi yang menjadikannya simbol contoh buat setiap mata yang melihat.

Ahmad Nabil Ahmad, siapa yang tidak mengenali  figura ini yang semakin hebat di gelanggang seni kariernya. Walaupun orangnya dilihat penuh dengan lawak jenaka, namun masih ada sisi serius dalam perspektif pandangan yang hadir dalam kotak  fikirannya.

Pengalaman menjadikan figura ini lebih matang dalam berkata-kata. Setiap bait pandangan yang dicurahkan punya nilai relevan yang tinggi.

Lahir pada 26 September 1983, empunya diri ini merupakan seorang pelawak, pengacara, penyampai radio, penyanyi dan pelakon Malaysia kelahiran Mambau, Negeri Sembilan.

Mula dikenali semenjak menjuarai musim kedua rancangan realiti pencarian bakat komedi Raja Lawak, oleh itu beliau lebih dikenali sebagai Nabil Raja Lawak oleh orang ramai.

Kini, beliau mengacarakan rancangan hiburan MeleTOP dan Gegar Vaganza serta melibatkan diri dalam lakonan filem dan siri TV tempatan. Nabil juga boleh dikatakan Pelawak Berdiri berbahasa melayu yang paling popular di Malaysia.

Jadi keutamaan

“Untuk masa kini, saya utamakan dunia pengacaraan. Secara jujurnya, dunia pengacaraan memberi laluan mudah dalam karier saya kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan menjadi seorang pelawak. Rasa debarnya juga berbeza. Membuat jenaka, perasaan debar itu sentiasa ada malah lebih lagi daripada menjadi pengacara.

Lakar sejarah

"Siapa sangka, saya yang hanyalah budak kampung dari Mambau dan berjaya mengorak langkah hingga ke Hollywood. Bagi saya, ia adalah simbol kejayaan dalam karier saya.

Orang dapat melihat bakat saya dan mereka menghargainya.

"Apa yang paling saya tidak boleh lupa adalah sewaktu menemu ramah pelakon hebat Jackie Chan. Sempat saya bertanya kepada beliau tentang tip bagaimana pelakon Asia seperti beliau berjaya memasuki pasaran Hollywood.

Jawapannya mudah; “Usah risau mengenai Hollywood. Apabila kamu berjaya di tempat kamu, Hollywood sendiri yang akan datang kepada kamu.”

“Saya tergamam seketika. Ada benar kata-katanya. Jika dia, pada masa dahulu, media sosial tidaklah semaju hari ini, namun masih bisa melebarkan sayapnya hingga ke puncak, apatah lagi hari ini? Semuanya di hujung jari sahaja. Jadi saya juga boleh jadi sepertinya,” ujarnya.

Perkembangan industri

“Jujurnya, ia sudah matang. Maksud saya, matang dari segi kualitinya. Jika mahu dikira berapa ramai pengacara yang benar-benar berkualiti, tidak ramai. Masih boleh dikira.

Terutamanya barisan senior seperti Datuk Haji Aznil Nawawi (Pak Nil), Mahathir Lokman dan sebagainya.

"Bidang pengacaraan ini berbeza daripada bidang nyanyian, contohnya. Bidang nyanyian saya akui kita ada ramai penyanyi hebat. Namun, untuk mencari pengacara yang hebat, sukar.

"Namun, saya percaya dengan adanya kelas On Air yang diasaskan oleh Pak Nil, ia membantu dalam melahirkan pengacara yang berkualiti.

Tidak dinafikan, kala ini, ramai pelawak yang sudah mula menjadi pengacara. Contohnya Zizan, Jihan dan juga saya.

“Bagi saya, ia adalah perubahan trend bila mana masyarakat kita, sudah mula melihat bahawa pelawak ini lebih memberi kesan dalam pengacaraan.

“Melawak sambil mengacara. Extra value! Saya sendiri, sebelum mengacara, saya buat sedikit kajian tentang bahan lawak yang sesuai untuk diselitkan ketika saya mengacara. Jadi apabila saya mengacara, tidaklah kelihatan bosan dan normal sahaja,” jelasnya.

Giat bina nama

“Saya sedikit sibuk dengan produksi saya yang sudah pun beroperasi selama lapan bulan. Banyak program di bawah produksi saya bakal ditayangkan contohnya seperti gameshow, Fan Fanatic juga cerita hantu, The Hantu’s yang akan disiarkan di Astro First.

“Selain menjadi penerbit, saya juga mengembangkan bakat saya sebagai pengarah juga penulis skrip, terutamanya sitkom Bus Stop.

“Sitkom Bus Stop ini adalah hasil kerja pertama produksi saya yang disiarkan di Astro Warna. Ia menampilkan pelakon utama Sherry Al-Hadad, Ebby Yus, Angah Raja Lawak, Ippo Hafiz dan turut dilakonkan oleh barisan artis jemputan.

“Untuk projek seterusnya, jika tiada aral melintang, saya bakal lahir dengan  filem yang menjadikan Muay Thai sebagai latar utamanya. Tapi ia masih lagi baru dalam proses membuat kajian.

“Biarpun ada risikonya, namun saya percaya sudah tiba masanya untuk mengubah corak pemikiran kita dengan menghasilkan sesuatu yang bagus dan berkualiti,” katanya.

Sumber inspirasi

“Jujurnya, Datuk Aznil Haji Nawawi adalah sumber inspirasi saya. Pak Nil memang tiada penggantinya. Bagi saya ia adalah contoh paling dekat dalam diri saya.

“Kejayaan yang dikecapi membuatkan saya mahu jadi lebih baik daripada dia. Saya pergi ke Hollywood untuk mengacara Oscar pada usia 33 tahun dan berada dalam industri pengacaraan selama 6 tahun. Sudah pasti masih banyak perkara yang ingin saya kecapi. Kalau mereka boleh, kenapa tidak saya?” akhirnya.

Nama penuh: Ahmad Nabil Ahmad

• Nama gelaran: Nabil Raja Lawak, Nabil Ahmad

• Tarikh lahir: 26 September 1983

• Umur: 33 tahun

• Tempat lahir: Mambau, Negeri Sembilan

• Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

• Kerjaya: Pengacara/ Pelawak/Pelakon

- Raja Lawak Astro

- Lu Pikirlah Sendiri de Movie

- Sifu & Tongga

- Berani Punya Budak

- Maharaja Lawak

- Meletop

- Gegar Vaganza