KEINGINAN tinggi melihat sukan bola sepak terus dikenali dengan bakat-bakat baharu nyata menyuntik semangat anak jati Kuala Selangor, Dato’ Ariffin Abd Hamid menceburi dunia sukan selepas cemerlang di pentas korporat.

Mungkin dalam industri sukan bola sepak ramai yang tidak mengenalinya lantaran peranannya hanya di belakang tabir namun selepas memegang tampuk pengurus pasukan Piala Presiden Selangor impaknya terhadap pasukan kian ketara hingga berjaya memimpin pasukan hingga berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan B.

Berkesempatan menemu ramah di kediaman beliau di Shah Alam, barubaru ini banyak pengalaman yang dikongsi olehnya bermula peringkat awal pembabitannya dalam dunia korporat dan sukan.

“Impian saya hanyalah ingin melihat malaysia dikenali dengan bakat-bakat baharu yang dicungkil dari peringkat akar umbi. inilah matlamat utama saya dan pentas piala presiden adalah venue terbaik untuk memastikan hasrat serta perancangan menjadi kenyataan.

Langkah awal

Untuk berada pada tahap ini bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Saya bermula dari bawah dalam bidang korporat, belajar satu persatu tanpa ilmu yang kukuh di dada. Beberapa kali ditipu dalam perniagaan nyata mendewasakan saya, tidak pernah melatah mungkin itu peringatan dari Allah untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Kini cabaran dalam dunia sukan pula diceburi dengan memegang amanah Penolong Bendahari dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk penggal 2017- 2021 walaupun hampir 20 tahun saya bergiat aktif dengan FAS di belakang tabir.

Penyebab utama

Bukan kerana pangkat mahu pun nama, itulah ungkapan ringkas Ariffin ketika disoal apakah punca utamanya beralih arah dari dunia korporat ke bidang sukan.

“Impian saya hanyalah ingin melihat Malaysia dikenali dengan bakat-bakat baharu yang dicungkil dari peringkat akar umbi. Inilah matlamat utama saya dan pentas Piala Presiden adalah venue terbaik untuk memastikan hasrat serta perancangan menjadi kenyataan.

“Kita sebenarnya ketandusan pemain berbakat di peringkat awal tidak sepertimana negara-negara lain, perlu sediakan pentas untuk pemain mempamerkan bakat dan langkah ini perlu berterusan sehinggalah mencapai kejayaan,” jelasnya yang turut mengakui pernah mewakili sekolah dalam sukan bola sepak di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor.

Ariffin

Masa lapang

Memegang jawatan dalam dua sektor berbeza pastinya tidak mudah buat Ariffin untuk menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga mahu pun rakan-rakan, namun baginya jika berpeluang, bacaan buku ilmiah dan keagamaan menjadi penemannya.

“Walau sibuk macam mana pun jika berkelapangan saya akan membaca buku keagamaan dan kejayaan seseorang kerana dari sini ia memberi pengajaran dan semangat,” katanya.

Erti kejayaan

Kejayaan itu adalah hasil selepas kita berusaha dengan bersungguh-sungguh. Ini sering ditekankan guru ketika di sekolah di mana usaha adalah tangga kejayaan. Jika lakukan dengan usaha dan keyakinan dalam apa juga bidang diceburi, Insya-Allah kejayaan akan menjadi milik kita.

Prestasi pasukan

Masih ada ruang untuk memperbaiki kepincangan, setakat ini saya berpuas hati dan percaya pemain mampu melakukan yang lebih baik untuk mencapai kejayaan. Perlu digilap dan diberikan suntikan motivasi serta keyakinan.

Harapan

Semua pasukan inginkan piala kejuaraan, kami perlu realistik, selepas hampir lapan tahun Piala Presiden Selangor kemarau tanpa kejuaraan, untuk musim ini berada di kedudukan tiga terbaik sudah cukup bagus.

Andai menjulang kejuaraan itu adalah bonus yang amat berharga buat kami semua.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :