PERNAH diselubungi masalah kecederaan pada awal pembabitannya sebagai pemain bola sepak professional, pertahanan kental Kedah, Khairul Helmi Johari bangkit membina reputasi dan keyakinan untuk berada pada sekarang.

Lebih mesra dengan panggilan Keon dikalangan rakan sepasukan dan peminat, anak jati Sungai Petani Kedah ini mula bermain untuk pasukan Piala Presiden Kedah pada masa mudanya.

Bakatnya mula berkembang dan dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior bersama-sama dengan kawan-kawannya Mohamad Rozaidi Abdul Rahim dan Mohd Hazwan Zainun bermula dari 2007/08. Pada November 2010, Khairul Helmi telah dipanggil ke skuad kebangsaan Malaysia oleh jurulatih K. Rajagopal untuk 2010 Piala Suzuki AFF 2010.

Berkesempatan menemubual Keon yang hadir pada majlis pelancaran jenama suka Adidas di Kuala Lumpur baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya Maskulin untuk mengetahui dengan lebih lanjut pembabitan awalnya dalam bidang sukan serta kehidupannya.

Pembabitan awal

Mula bermain bola sepak pada 2007 dengan Piala Presiden sebelum menyertai pasukan utama dan bermula dari detik itulah saya terus setia bersama negeri kelahiran walaupun ada menerima tawaran menyertai pasukan lain.

“Inilah detik awal pembabitan saya dalam dunia bola sepak, terima kasih kepada mereka yang memperkenalkan dunia bola sepak kepada saya,” jelasnya yang turut menyimpan impian awal untuk bergelar juruterbang seandainya tidak bermain bola sepak.

Lepas jawatan

Menjelang saingan Liga Malaysia 2018 ini, Keon yang menggalas tugas selaku ketua pasukan Kedah sejak 2014 meluahkan hasratnya untuk tidak lagi mengetuai skuad Lang Merah .

“Saya ingat tahun depan mahu beri peluang kepada orang lain untuk jadi kapten dan pada pandangan saya, Baddrol Bakhtiar paling layak,” jelasnya yang menjadikan Paolo Maldini sebagai mentor dan inspirasi dalam sukan bola sepak.

Mengulas harapannya musim depan, Khairul menjelaskan pemain perlu menyesuaikan diri dengan ilmu baharu yang diterapkan ketua jurulatih, Ramon Marcote.

“Selain itu, pemain perlu mening­katkan lagi mutu permainan dan sudah tentu cuba yang terbaik untuk mendapatkan sebanyak mungkin piala untuk pasukan,” jelasnya melakukan aktiviti luaran seperti memancing seandainya memiliki masa terluang.

Cabaran terbesar

Pada 2007 saya mengalami kecederaan ACL semasa menyertai skuad utama ketika itu dan terpaksa berehat hampir lima bulan sebelum pulih.

Perkembangan bola sepak pada masa kini

Telah mula menampakkan perkembangan positif dengan barisan kepimpinan yang baru dan masih memerlukan masa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Pasukan kegemaran

Real Madrid /Ac Milan

Erti kejayaan

Kejayaan adalah satu kepuasan dan ia juga cara saya untuk membalas setiap sokongan yang diberikan.

Harapan anda pada masa akan datang

Ingin melihat bola sepak di Malaysia berada pada satu tahap yang digeruni lawan.