BERDASARKAN Suruhanjaya Mata Kebangsaan (NES) pada 2014, 272,000 rakyat Malaysia mengalami masalah penglihatan disebabkan oleh katarak, manakala 216,000 yang lain mengalami kehilangan penglihatan kerana kelewatan menjalani pembedahan katarak.

Lantas bagi meneruskan usaha berterusan dalam menyumbang kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan mata secara berkala dan penyakit buta yang boleh dielakkan dalam kalangan rakyat Malaysia, Pakar Mata Vista (Vista) berikrar untuk memberikan 100 prosedur katarak mata kepada 50 pesakit yang memerlukan.

Sejak 1999, Vista didorong visi bagi membantu orang untuk mencapai penglihatan yang terbaik serta meningkatkan kualiti hidup melalui kaedah paling selamat. Vista menyediakan penjagaan mata yang berkualiti dengan penggunaan teknologi moden dan amalan klinik alinovatif, untuk membawa penglihatan orang ramai “dari kabur menjadi jelas.”

Perasaan bimbang

Pakar Perunding Oftalmologi, Katarak & Pakar Perubatan Refraksi, Dr Paul Lim berkata, kebutaan disebabkan oleh katarak boleh dicegah dengan mudah, namun ia masih menjadi punca utama kebutaan di Malaysia.

“Pesakit mungkin bimbang untuk menjalani pembedahan. Walaubagaimanapun, dengan kemajuan teknologi, pembedahan katarak telah berkembang menjadi prosedur mudah dengan risiko yang sangat minimum. Justeru, pesakit harus mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan tepat pada masanya bagi mengelakkan kerosakan kekal dan memulihkan penglihatan yang baik,” jelasnya pada majlis pembukaan klinik baharu Vista di Bandar Puteri Puchong bersempena sambutan ulang tahun Vista ke-18 serta inisiatif Tangungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi kempen “Vista Lihat Malaysia dari Kabur Menjadi Jelas”, baru-baru ini.

Majlis pembukaan klinik baharu tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Wanita, Perkembangan Keluarga & Masyarakat , Datuk Azizah Mohd Dun.

Wajar diberikan pujian

Sementara itu, Azizah dalam ucapannya, KPWKM sentiasa memperjuangkan agenda Negara bagi mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin di Malaysia.

“Usaha Vista berterusan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat Malaysia melalui penjagaan dan kesihatan penglihatan yang baik amatlah dipuji. Ini pastinya akan membantu para pencari nafkah khususnya untuk meneruskan gaya hidup yang mampan dan menyediakan kemudahan sebaik mungkin untuk keluarga mereka.

Azizah (depan, tiga kiri) bersama pengurusan dan kakitangan Vista pada majlis pembukaan klinik baharu.

“Selain itu, dengan mengambil kira bahawa bilangan warga emas berumur 60 tahun dan keatas di Malaysia akan meningkat sebanyak dua kali ganda dari 3.1 juta hari ini ke 5.8 jutaatau 15.3% dari jumlah populasi menjelang 2030, inisiatif seperti ‘Vista Lihat Malaysia dari Kabur menjadi Jelas’ menjadi lebih penting dalam membantu menangani masalah kesihatan yang berkaitan dengan usia seperti penyakit katarak dalam masyarakat, terutamanya di kalangan mereka yang paling memerlukan,” ujarnya.

Peranan positif

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vista, Lim Boon Siong berkata, kesihatan mata yang baik dan penglihatan yang jelas memainkan peranan yang besar dalam usaha mengejar gaya hidup yang penuh dan berkualiti.

“Keutamaan kami untuk memperkasakan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk membawa penglihatan mereka dari ‘kabur menjadi jelas’.

“Usaha ini adalah berterusan dalam memperluaskan lagi penyelesaian pembetulan penglihatan mata dan pemeriksaan secara komprehensif kepada komuniti di seluruh Malaysia dan pada masa yang sama, meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan mata secara berkala dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.