KOLESTROL ialah bahan berlilin yang dihasilkan oleh hati dan juga terdapat di dalam makanan dari sumber haiwan, seperti daging lembu, daging ayam dan hasil tenusu lemak penuh.

Hati menghasilkan lebih banyak kolesterol apabila seseorang itu memakan sajian yang kaya dengan lemak tepu dan lemak trans. Badan manusia memerlukan kolesterol untuk membina membran sel, menghasilkan hormon yang tertentu, dan menghasilkan sebatian yang membantu penghadaman lemak.

Walau bagaimanapun, kolesterol berlebihan boleh membentuk plak di antara lapisan dinding arteri lalu menyukarkan jantung mengedarkan darah. Plak boleh berpecah dan menyebabkan bekuan darah.

Jika bekuan darah menyumbat arteri yang membekalkan darah ke otak, ini mengakibatkan strok (angin ahmar). Jika bekuan darah menyumbat arteri yang membawa darah ke jantung pula, ini mengakibatkan serangan jantung.

TIDAK SEDAR

Pakar Runding Kardiologi, Tan Sri Dato’ Dr Robaayah Zambahari berkata, Hiperkolesterolemia bersifat asimptomatik, iaitu pesakit tidak mengalami simptom. 

“Kebanyakan pesakit tidak sedar bahawa aras kolesterol mereka tinggi dan satu-satunya cara untuk mengesannya adalah melalui pemeriksaan yang tetap.

“Oleh itu, jika dibiarkan tanpa dirawat, hiperkolesterolemia boleh menyebabkan pelbagai penyakit kardiovaskular (CV) seperti serangan jantung dan strok. Tanpa rawatan, serangan CV boleh mengakibatkan masalah yang serius ataupun maut,” ujarnya pada majlis pelancaran ubat Atozet, baru-baru ini.

Menurut Kaji Selidik Kesihatan Dan Morbiditi 2015, kadar kejadian hiperkolesterolemia (yang diketahui dan yang tidak didiagnosis) secara keseluruhannya dalam kalangan orang dewasa di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas ialah 47.7%.

Dr David (kiri), Dr Jeyamalar Rajadurai dan Pengarah Unit Perniagaan MSD, Tee Loong Tek (kanan) pada majlis pelancaran Atozet baru-baru ini.

Kadar ini secara amnya meningkat mengikut usia, daripada 22.0% bagi lingkungan usia 18-19 tahun, dan memuncak kepada kadar 68.8% bagi lingkungan usia 55-59 tahun.

KURANG RISIKO

Sementara itu Pakar Runding Kardiologi, Dr David Quek menjelaskan garis panduan terbaru menyatakan bukti bahawa aras LDL-C yang lebih rendah berkait dengan kadar kejadian CV yang lebih rendah, semakin banyak LDL-C dikurangkan, semakin banyak risiko CV dikurangkan.

“Manfaat pengurangan LDL-C ini tidak khusus bagi terapi ubat statin. Oleh itu, nampaknya wajarlah aras LDL-C diturunkan serendah-rendahnya, sekurang-kurangnya pada pesakit yang sangat tinggi risikonya mengalami masalah CV,” jelasnya yang turut memberikan penerangan pada majlis tersebut.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :