Gelaran Hero Remaja 2017 masih terbuka untuk digarap oleh mana-mana finalis yang bertarung. ‘Fighting gloves off’, siapa sangka Alif Muhaimin ditabalkan sebagai Hero Remaja 2017. Lantas melayakkan dirinya untuk berdiri di podium teratas seiring alumni terdahulu yakni Fattah Amin, Kamal Adli dan ramai lagi.

Inilah Hero Remaja yang paling murah dengan senyuman. Pertama kali bertemunya, aura kemesraan terserlah pada wajah peserta yang membesar di Kelana Jaya ini. Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, Alif mengagumi pengorbanan serta ketabahan ibu membesarkannya bersama empat orang adik-beradik yang lain. Dia juga cukup rapat dengan abangnya yang dianggap sebagai antara hero dalam hidupnya.

Pelajar jurusan Sains Aktuari ini ingin menjadikan bidang seni sebagai karier dalam tempoh setahun akan datang. Pendidikan pula dianggap sebagai jaminan masa hadapan serta bekal yang harus dibawa demi masa depan. Definisi lelaki sejati baginya ialah seseorang yang menghormati ibu bapa serta orang tua dan melindungi mereka yang lemah. Dewi Remaja pilihannya ialah Ely Dura Irdeena yang juga merupakan kawan rapatnya yang telah lama dikenali.

Peramah dan mudah mesra

Mengenai perwatakannya yang dilihat peramah dan mudah didekati, Alif tidak menjangkakan tanggapan tersebut.

“Untuk saya melobikan diri sebagai seorang yang 'peramah' itu berbunyi agak janggal kerana siapa saya untuk melabel diri sendiri dengan sifat tersebut. Namun, sejak kecil saya melihat ibu dan kakak saya mempunyai daya tarik approachable ketika mereka berbual dengan orang lain. Mereka memulakan perbualan semudah memberikan salam.

“Saya juga terikut sama perangai ramah mereka berdua jika berjumpa orang lain. Mungkin ada yang melihat kualiti tersebut sebagai 'kaki sembang' atau 'muka tak tahu malu'. Namun, saya percaya jika saya enggan bersifat sedemikian, saya akan jauh terkebelakang. Kata orang, jika kita berat mulut untuk bertanya, sesat jalanlah jawabnya,” jelasnya.

Nilai dan erti seorang Hero Remaja

Ujarnya rupa, fizikal tubuh, latar belakang dan apa-apa kelebihan diri perlu diketepikan terlebih dahulu.

“Apa yang lebih penting adalah seseorang itu perlu berfikiran positif. Tak kisahlah dia bergelar bos, timbalan, selebriti, pekerja berkolar putih atau Hero Remaja sekalipun, pemikiran positif itu bagi saya adalah satu kemestian. Saya sedaya boleh cuba untuk mengekalkan gaya hidup bersih dan mentaliti yang sihat,” tegasnya.

Kongsi Pengalaman

Menghadiri ujibakat sesi pertama dan ramai juga finalis daripada hari tersebut yang terpilih sama, sudah tentu  itu juga merupakan kali pertama saya bertemu dengan sahabat saya Safwan (Nazri) dan siapa sangka kami berdua terpilih!

“Semasa menunggu giliran kami dipilih (Alif memegang nombor 63 manakala Safwan bernombor 81), kami adalah juga berborak bertanyakan soalan yang bakal ditanya. Tetapi apabila tiba giliran saya, soalan yang diberi memang membuatkan sesiapa mati akal .

“Alhamdulillah, selepas saya mengucapkan tahniah kepada Safwan yang menjadi peserta pertama terpilih, saya pula diumumkan sebagai finalis kedua,” ujarnya.