BERMULA sekadar minat terhadap dunia sukan telah membawa Abdullah Firdaus Abd Jalil melangkah lebih jauh dengan mengasaskan sebuah syarikat berkonsepkan media sukan, Sportflex Media & Event Sdn Bhd.

Berpengkalan di Bangi, Selangor, syarikat ini membawa dimensi baharu dalam dunia sukan tanah air dengan menyediakan perkhidmatan pengurusan acara dan media terhadap program-program sukan yang di anjurkan syarikat terkemuka seperti Felcra Berhad dan Yakult Malaysia Sdn Bhd.

Penguat semangat

Sebagai seorang yang sangat rapat dengan keluarga, Abdullah Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Alieff menyifatkan sokongan keluarga menjadi pembakar semangat untuk terus berjaya.

Memulakan kerjaya sebagai seorang peguam syarie tidak menghalang dirinya untuk melibatkan diri dalam bidang kewartawanan dan perhubungan media. Perkara ini jelas menjadi kelebihan buat dirinya yang di anggap mudah mesra di kalangan wartawan sukan yang lain.

“Dalam hidup saya ini, pelbagai pengalaman dan cabaran telah saya lalui. Saya pernah patah semangat di tipu rakan kongsi dalam perniagaan, pernah patah semangat dalam meneruskan kehidupan.

“Allhamdulillah, bersyukur kerana saya sentiasa mendapat sokongan keluarga dan kawan-kawan yang kuat di mana mereka sentiasa ada bersama semasa susah dan senang. Cuma sedikit terkilan kerana arwah ayah telah pergi dulu sebelum sempat melihat apa yang saya ada pada hari ini.

“Saya memulakan kerjaya sebagai seorang peguam syarie di sebuah firma guaman di Subang Jaya ,Selangor. Kemudian bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM). Di situ saya banyak belajar berkaitan pengurusan media dan kewartawanan yang akhirnya membuatkan saya “jatuh cinta” dengan bidang ini,” ujarnya.

Terus berjaya

Menyifatkan 2018 adalah tahun yang amat mencabar, Alieff bercita-cita untuk membuka sebuah pusat pengajaran Al-Quran dan Bahasa Inggeris secara percuma kepada golongan yang memerlukan khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Saya mengimpikan untuk membuka kelas Pengajian Al-Quraan dan Bahasa Inggeris secara percuma bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan. Ini merupakan sumbangan saya kepada pembangunan remaja pada hari ini menuju TN50.

“Saya percaya mereka boleh berbahasa inggeris dengan baik serta mempunyai pegangan agama yang kukuh akan menjadi seorang yang berjaya dan perkara inilah yang semakin “kurang” dalam diri generasi remaja pada hari ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Alieff turut menyimpan hasrat untuk meluaskan empayar Sportflex yang baru berusia dua tahun khususnya dalam bidang sukan.

“2018 merupakan cabaran terbesar kerana Sportflex perlu berjaya dan melangkah dalam keadaan ekonomi negara yang agak lembap. Tiada perkara yang menjadi alasan untuk saya terus bekerja kuat bagi memastikan Sportflex terus di terima oleh orang ramai,” jelasnya yang mengakhiri temubual dengan Maskulin, baru-baru ini.