KECEDERAAN jangka panjang yang dialami rakan sepasukan nyata memberi ruang buat Muhammad Adib Zainudin menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara.

Kepimpinan yang jitu selain ketenangan memimpin rakan sepasukan ketika diatas padang bagi memastikan pasukan layak ke pentas Kejohanan AFC U-23 2018 baru-baru ini menaikkan nama bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor.

Memulakan kerjaya bola sepak bersama SSTMI dan bermain untuk pasukan Johor U-21 pada 2013 sebelum berpindah ke Harimau Muda C setahun kemudian memberikan gambaran jelas pemain yang gemar memancing ketika masa lapang mempunyai masa depan yang cerah.

LANGKAH AWAL

Lahir pada 15 Februari 1995, Adib terus melebarkan kariernya apabila menandatangani kontrak dengan pasukan Shah Alam UiTM FC pada Disember 2014.

Ini adalah langkah yang baik kerana UiTM membenarkan Adib  meneruskan ijazahnya dalam sains Sukan. Menimba ilmu dan membantu pasukan hampir dua musim pemain yang memiliki ketinggian 5 kaki 11 inci sebelum bersama Felcra FC pada permulaan musim 2017.

Adib membuat enam penampilan dan satu gol pada 2017 Sukan Sea KL2017 baru-baru ini dan dilihat antara prospek baharu dalam sukan bola sepak di Malaysia.

Reaksi kepuasan dipamerkan Adib selepas berjaya menjaringkan gol.

Menceritakan pembabitan awal dalam sukan bola sepak, Adib mula bermain bola sepak ketika berusia lapan tahun sebelum bakatnya diketengahkan untuk mewakili pasukan negeri pada umur 12, 15 dan 17 tahun.

“SSTMI banyak memberi pendedahan awal kepada saya ketika mula-mula menceburi sukan bola sepak, disanalah segalanya bermula, terima kasih kepada semua yang memberikan peluang dan kepercayaan untuk bergiat aktif dalam sukan bola sepak,” jelasnya.

TETAP AKUI

Perasan kecewa dan sedih gagal membantu Malaysia memenangi emas dalam saingan bola sepak KL2017 baru-baru ini antara kenangan pahit yang harus ditelan.

“Agak kecewa kerana kami gagal memastikan emas diraih pada perlawanan akhir menentang Thailand, ia satu pengalaman dan pengajaran berguna buat semya pemain.

“Namun kejayaan mencipta sejarah memastikan slot  ke pentas Kejohanan AFC U-23 2018 di China adalah kenangan manis yang tidak akan dilupakan,” katanya.

HAMBUR PENGHARGAAN

Penghargaan dan ucapan terima kasih juga ditujukan buat pengurusan Felcra FC yang banyak membantunya pada peringkat awal pembabitan sehinggalah kini.

Adib (belakang,kiri) membarisi kesebelasan utama pada aksi Piala FAM menentang Sabah KDMM FC.

“Terima kasih kepada Presiden Felcra FC, Datuk Ismail Kassim yang memberi kepercayaan dan ruang bersama pasukan mengharungi saingan Piala FAM.

“Begitu juga barisan pengurusan dan kejurulatihan serta rakan sepasukan yang banyak membantu sama ada ketika latihan mahu pun perlawanan,” jelas anak muda kelahiran Mersing, Johor ini.

ADA POTENSI

Menyifatkan perkembangan bola sepak di Malaysia semakin menunjukkan peningkatan positif, Adib yang menjadikan pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Fadhli Shas sebagai idola yakin Malaysia mampu menjadi kuasa Asia Tenggara.

“Keyakinan ini berdasarkan usaha-usaha berterusan yang dilakukan, Malaysia memiliki potensi untuk menjadi kuasa Asia Tenggara mahu pun Asia,” ujarnya yang mungkin akan menjadi pengusaha ternakan lembu seandainya tidak bergelar pemain bola sepak.

PROFIL RINGKAS

Nama penuh : Muhamad Adib Zainudin

Nama panggilan : Adib

Tarikh lahir 15 Februari 1995

Umur : 22 tahun

Tempat lahir : Mersing Johor, Malaysia

Ketinggian : 1.80 m (5 kaki 11 inci)

Posisi : Pertahanan

Pengajian : Pelajar Sains Sukan UiTM Shah Alam

Pasukan semasa

Felcra FC (atas pinjaman dari UiTM FC) Kerjaya remaja

2011-2012 SSTMI

2013 Johor U-21

Kerjaya senior

2014 Harimau Muda C

2015- UiTM FC

2017- → Felcra FC

Pasukan kebangsaan

2016  Malaysia U-23