ADAM Norrodin hanya seorang rakyat Malaysia biasa, pelumba yang mengimpikan kejuaraan motosikal pada setiap perlumbaan yang disertai, namun kadang-kadang apa yang terjadi diluar kawalan.

Garisan penamat semakin hampir tetapi tergelincir pada selekoh terakhir menyebabkan impian merangkul kejuaraan pertama Moto3 di Argentina tidak kesampaian. Namun tanpa mengenal erti kalah, pelumba kelahiran  Parit Raja, Batu Pahat Johor ini bangkit menolak motosikalnya sehinggalah menunju ke garisan penamat.

Tarikh 14 Mac 2016 pastinya menjadi kenangan berharga buat Adam yang bangkit dengan emosi seorang pelumba yang berjaya.

Walaupun kini giat menjalani latihan diluar negara, Adam turut berkongsi permulaan kehidupannya sebagai pelumba sehinggalah sekarang dengan peminat Maskulin.

PERMULAAN KARIER

Berkongsi minat dengan adiknya, Ibrahim Noordin pada usia tujuh tahun adalah detik awal pembabitan Adam yang bermula dengan perlumbaan motocross dan bermula dari situlah keghairan mencipta kejayaan dalam sukan permotoran terus tersemat dalam hati.

DETIK SUKAR

Berdepan kenangan pahit ketika berumur 9 tahun apabila mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki ketika menjalani latihan motocross amatlah dirasainya namun itu bukanlah penghalang untuknya terus ke hadapan.

“Patah kedua belah kaki ketika usia muda antara kenangan pahit pada peringkat awal pembabitan sukan permotoran namun mendapat perkhabaran dari Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali memaklumkan penyertaan ke Moto3.

“Segala pengorbanan dan impian keluarga dan saya akhirnya berbaloi apabila cita-cita menjadi pelumba profesional MotoGP tercapai,” jelas anak kedua dari 10 adik beradik ini.

IMPAK POSITIF

Memilih pelumba MotoGP, Marc Marquez sebagai idola, Adam menjadikan ayahnya sebagai sumber inspirasi yang banyak memberi semangat dan doa dalam kehidupannya.

“Ayah merupakan individu terpenting dalam perjalanan karier saya hingga ke saat ini, begitu juga ahli keluarga yang lain dan rakan serta rakan sepasukan,” ujarnya yang turut menggemari aktiviti berbasikal, berenang dan gym ketika masa lapang.

Menyimpan impian menjadi juruterbang seandainya bukan pelumba Moto3, Adam melihat perkembangan dunia permotoran di Malaysia pada masa kini begitu positif.

“Sukan permotoran semakin besar, banyak perlumbaan dilakukan seperti Cub Prix dan Asia Road Racing yang secara tidak langsung dilihat medan mempamerkan bakat.

“Begitu juga dengan sokongan peminat tempatan dalam sukan permotoran yang semakin ketara setiap kali penganjuran perlumbaan motosikal di SIC,” ujarnya.

HARGAI PENGORBANAN

Apabila menceburi sesuatu bidang, pastinya kejayaan menjadi matlamat dan ini tidak terkecuali bagi Adam yang tekad membalas segala jasa dan pengorbanan mereka yang banyak membantunya sehingga mencapai kejayaan.

“Bangga dan gembira apabila nama dilaungkan sebagai pemenang dan melihat wajah gembira semua ahli keluarga dan mereka yang bersusah payah, itulah kejayaan bagi diri saya.

“Segala pengorbanan mereka tidak mampu dibayar dan saya tekad membalasnya dengan kejayaan juara dunia pada masa akan datang,” katanya.

Profil Ringkas

Nama penuh : Muhamad Adam Mohd Norrodin  

Umur : 19 tahun  

Bilangan adik beradik : Anak ke dua daripada 10 adik beradik

Tempat lahir : Parit Raja, Batu Pahat Johor

Kerjaya sekarang : Pelumba Moto3 Negara (Drive M7 SIC Racing Team)

 

 
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :