MALAYSIA kekal menerajui pasaran sukuk dunia dengan nilai tertinggi RM468.64 bilion (AS$245.3 bilion) atau 60.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran itu bagi penggal kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Malaysia (Al Rajhi), Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata, kedudukan Malaysia itu diikuti Arab Saudi yang memiliki pasaran sukuk bernilai RM101.2 bilion (AS$32 bilion) atau 13 peratus daripada sukuk global.

"Pasaran sukuk dunia bernilai RM775.68 bilion (AS$245.3 bilion) pada enam bulan pertama 2013, meningkat tujuh peratus berbanding tahun lalu dan 16.4 peratus secara tahunan.

"Bagaimanapun, momentum sukuk dijangka terus meningkat dan tidak akan terjejas dengan permintaan tinggi akibat pelabur menghadapi kesukaran dalam membangunkan dan menyatukan pasaran," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Al Rajhi dan Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (Irti) di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Azrulnizam berkata, kerjasama itu menyediakan rangka kerja antara dua institusi dalam pembangunan sukuk dan platform untuk bertukar pendapat mengenai isu dan standard syariah.

Katanya, Al Rajhi berbincang mengenai kerjasama ini sejak dua bulan lalu bertujuan menyokong terbitan sukuk dan aktiviti pasaran modal Islam di kalangan negara ahli Bank Pembangunan Islam.

"Melalui kerjasama itu, Irti ditugaskan untuk kenal pasti negara ahli yang berminat untuk membangunkan sukuk dan pasaran modal Islam," katanya.

Mengulas strategi perancangan lima tahun ARBM, Azrulnizam berkata, ia akan memberikan tumpuan kepada peningkatan kedudukan keuntungan dan kerugian dan dalam masa yang sama menguatkan pengurusan.

“Dalam pelaburan bank, Al Rajhi akan memberi tumpuan kepada strategi pasaran modal Islam dan penambahan rakan kongsi dalam sukuk yang menepati piawaian syariah Arab Saudi dan Malaysia ke arah sukuk terbesar di dunia dengan gabungan 73 peratus pegangan saham dalam pasaran sukuk dunia," katanya.

 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :