WARUNG Seringgit di Kluang Baru, Johor, tular di laman sosial Facebook sejak tahun lalu berikutan menjual makanan dan minuman dengan harga murah iaitu RM1.

Pemiliknya, Ramlah Mohd Amin, 46, tidak menyangka warungnya jadi sebutan dan tumpuan orang ramai khusus masyarakat di daerah ini.

Menurutnya, idea menjual makanan dan minuman dengan harga RM1 terhasil berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

“Sebelum ini, saya pernah buka kedai makan namun meletakkan harga kadar biasa macam kedai-kedai makan lain.Tiba-tiba tercetus idea nak jual menu dengan harga murah.

“Selepas lihat ada pulangan modal, saya mulakan menu di warung saya dengan RM1 sejak hampir dua tahun lepas.

“Sejak buat menu murah ini, Alhamdulillah rezeki tak putus. Semakin ramai pelanggan  datang untuk dapatkan menu murah ini,” katanya ketika ditemui di Warung Seringgit.

Antara menu yang dijual adalah sarapan pagi dan makanan tengah hari bermula jam 7 pagi hingga 1.30 petang  setiap hari kecuali Isnin.

Ramlah (kiri) menyusun lauk-pauk untuk dijual seawal jam 9.30 pagi.

Katanya, walaupun tidak memperoleh keuntungan yang lumayan namun dia bersyukur dapat jual sambil bersedekah kepada setiap pelanggan.

“Saya percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Dengan harga murah ini saya dapat bantu golongan kurang berkemampuan dan miskin untuk menikmati makanan.

“Warung Seringgit saya ini bukan sahaja orang Melayu yang datang, malah pelbagai kaum.

“Walaupun untung tidak besar tetapi cukup untuk dapat balik modal, bayar gaji pekerja, sewa tapak warung dan sara keluarga saya,” kata ibu tunggal kepada lima orang anak.

Menu sarapan pagi yang dijual antaranya nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, bihun goreng, kuey teow goreng, mi kari, mi rebus, laksa penang, soto nasi, bihun soto dan bakso selain lauk-pauk dan kuih-muih.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.