RESTORAN dan Kafe Jom Makan terletak di Bandar Bukit Sentosa menawarkan menu istimewa berasaskan tomyam yang pasti menambat selera penggemar masakan tersebut.

Tomyam air tangan tukang masak berpengalaman dari Thailand menjadi pilihan utama pelanggan walaupun terdapat pelbagai jenis masakan lain termasuk makanan barat.

Selain tomyam yang biasa berwarna kemerahan, kedai ini turut menyediakan tomyam putih.

Pengarah operasi Jom Makan, Mohd Zainoren Ahmad Zahid berkata, kedai tersebut baharu setahun dibuka namun tidak lagi asing di kalangan masyarakat setempat di sekitar Bukit Sentosa.

Menurutnya, masakan tomyam di kedai berkenaan kelihatan seakan bersantan namun tidak menggunakan santan sebagai bahan asas.

“Ini kelainan tomyam di sini malah rata-rata pelanggan menggemari rasa tomyam yang boleh disediakan pedas atau sebaliknya mengikut kehendak pelanggan.

“Kafe ini dibuka seawal jam 7 pagi dengan menu sarapan seperti lontong, bihun goreng dan nasi lemak manakala nasi campur sebagai menu makan tengah hari.

“Di sebelah petang bermula jam 3 petang, masakan panas sehingga lewat 12 tengah malam,” katanya.

Mohd Zainoren berkata, dia terdahulu berpengalaman dalam perkhidmatan katering selama 17 tahun sebelum membuka kedai tersebut di bangunan baru Bandar Bukit Sentosa.