DIHIDANGKAN dalam dulang, menu baby shell out kelainan yang ditampilkan di D Rofa Cafe Maggi Sotong Gergasi.

Dengan harga RM10, peminat makanan laut boleh menjamu sepuasnya ketam nipah, udang dan lala yang dimasak dengan rempah ratus serta dimakan bersama nasi putih.

Pemilik bersama cafe itu yang juga suami isteri, Nor Fadli Mohd Nor, 35, dan isteri, Qaseh Ezla Yakob, 34, berkata, idea menampilkan menu shell out dalam dulang ini adalah idea isterinya.

Menurutnya, semua maklum, hidangan itu harganya mahal sebab dihidangkan dengan kuantiti yang banyak.

"Saya terfikir nak sediakan hidangan mampu milik dengan harga berpatutan yang mampu dinikmati semua lapis masyarakat," katanya.

Katanya, menu ini dimasak sendiri isterinya dengan ramuan dan bahan segar.

“Dijamin ketam, udang, lala segar kerana diambil daripada pembekal di sekitar Tumpat ini setiap hari.

"Alhamdulillah, menu baru diperkenalkan beberapa minggu ini mendapat sambutan ramai.

“Kalau nak makan berselerak pun kami sediakan tapi harga mahal sikit sebab ikut pakej lima hingga tujuh orang makan dengan harga RM100, lauk pula ditambah telur sotong, sotong dan udang galah,” katanya.

Nor Fadli berkata, selain menu baby shell out, di cafenya juga popular mi segera sotong gergasi dan mi segera ketam serta beberapa menu lain berasaskan makanan laut.

“Biasanya maggi sotong saya jual dengan harga RM15 sepinggan, maggi ketam pula RM20. Tapi waktu promosi pelanggan boleh menikmati maggi ketam dengan harga RM10 sepinggan,” katanya.

D Rofa Cafe Maggi Sotong Gergasi di kampung Bendang Luas beroperasi setiap hari dari jam 5 petang hingga 12.30 malam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.