NAK makan apa ye? Semuanya macam best je!

Pastinya anda pernah mengalami masalah itu apabila mahu membuat pesanan di restoran atau kedai makan yang dikunjungi.

Kalau ikutkan nafsu, semuanya mahu dicuba, tapi bimbang pula jika makanan sudah dihidang di depan mata tidak habis dimakan, belum lagi risau dengan bil yang perlu dibayar.

Berbeza dengan Kafe Eat & Repeat di Senawang di sini, anda tanpa rasa bersalah boleh pesan pelbagai jenis menu diingini dan yang pasti harga bagi semua menu hanya RM1.90 sahaja.

Mula beroperasi sebulan lalu dan mengetengahkan konsep makan dan ulang, si ‘kaki makan’ bukan saja boleh mencuba banyak menu yang berbeza, tetapi boleh dihabiskan kerana saiz hidangannya yang kecil.

Buka cawangan kelima

Pemiliknya, Mohd Hanafi Ramli, 33, berkata, restoran terbabit yang diusahakan bersama dua lagi rakan kongsi adalah cawangan kelima dibuka hasil inspirasi Izmier Fahmi dan Saifullizam Shapii.

“Cawangan pertama dibuka di Shah Alam dan ia mendapat sambutan menggalakkan memandangkan harga bagi setiap menu hanya RM1.90.

“Bagi saya konsep diketengahkan amat menarik kerana harganya bukan sahaja murah, tapi pelanggan tak perlu bimbang makanan dipesan tak habis jika mahu mencuba pelbagai jenis menu disediakan.

“Sebab itulah saya bersama rakan kongsi berbincang untuk membuka restoran sama di Senawang. Lagipun saya sendiri pernah ada pengalaman tak tahu nak pesan makanan apa jika pergi restoran sebab ‘rambang mata’. Rasa macam semua nak cuba,” katanya kepada Sinar Harian.

Sesuai dengan bajet

Menurutnya, dengan suasana ekonomi hari ini, kewujudan konsep restoran sebegitu pastinya memberi peluang kepada orang ramai terutamanya pelajar untuk makan di luar walaupun dengan bajet yang kecil.

Menawarkan 15 menu utama antaranya nasi goreng ayam cincang, nasi goreng cina, nasi lemak telur, mi kari, laksa utara, kepak ayam tandoori, Mohd Hanafi berkata, ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum.

Mohd Hanafi (dua dari kiri) bersama Saifullizam dan Norhayati Ibrahim iaitu pencetus Kafe Eat & Repeat.

“Kita juga ada tiga pilihan hidangan pencuci mulut iaitu pulut mangga, sagu gula Melaka dan brownies ice cream. Jadi banyak mana mangkuk yang dipesan, harganya hanya RM1.90.

“Jika tidak kena dengan citarasa, pelanggan boleh mencuba menu lain. Sekurang-kurangnya mereka tak rasa rugi untuk membayar bagi setiap satu hidangan dipesan,” katanya.

Kakitangan terlatih

Selain itu kata Mohd Hanafi, bagi memastikan kualiti dan rasa makanan dihidangkan kepada pelanggan, kesemua pekerja perlu terlebih dahulu mengikuti kursus penyediaan makanan disediakan.

Malah pihaknya mengambil berat setiap pandangan pelanggan dan sentiasa berusaha menambah baik kelemahan yang ada.

“Memang harga menu kami semuanya RM1.90, tapi itu bukan bermakna kami pandang remeh berkenaan kuantiti dan rasa hidangan disediakan. Paling penting, berbaloi buat pelanggan,” katanya.

Bagi yang ingin mencuba, restoran ini beroperasi dari jam 12 tengah hari sehingga 10 malam pada setiap hari Selasa hingga Ahad.