MENGAMBIL idea dan konsep dari negara Thailand, Kafe Eat & Repeat menjanjikan kepelbagaian makanan yang dihidangkan dalam mangkuk kecil pada harga RM1.90 untuk semua hidangan.

Pendekatan yang dilakukan ini bagi memastikan pelanggan dapat mencuba menu yang disediakan bermula dari menu utama, pencuci mulut dan minuman.

Menariknya di kafe ini, makanan yang dihidangkan adalah berasaskan menu tempatan seperti nasi goreng, nasi lemak, mi rebus, laksa utara, soto, pulut mangga, sagu gula melaka dan pelbagai lagi termasuk minuman panas dan sejuk.

Pemiliknya, Izmir Fahmi berkata, sebanyak 22 menu disediakan khusus kepada pelanggan yang ingin mencubanya. Kita menggunakan konsep ini kerana yakin ia mampu menepati citarasa pelanggan.

“Pendekatan ini dilihat sangat relevan kerana jika pelanggan menyukai menu yang ditempah, mereka boleh membuat tempahan semula untuk menu yang sama. Jika tidak kena dengan citarasa, pelanggan boleh mencuba menu lain.

“Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa rugi untuk membayar bagi setiap satu hidangan yang ditempah. Bagaimanapun, setakat ini kita mendapat maklum balas yang positif dan rata-ratanya menyukai menu yang disediakan.

“Sejak dibuka pada April tahun  lalu, sambutan begitu menggalakkan ditambah pula selepas menjadi viral di laman sosial sebulan selepas pembukaan kafe ini.

"Saya melihat strategi ini berjaya menarik perhatian pengunjung kerana belum ada lagi konsep hidangan tempatan dalam mangkuk kecil melainkan restoran Boat Noodle yang mempunyai beberapa cawangan di pusat membeli-belah seluruh Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah, kita telah membuka cawangan kedua di Bandar Baru Bangi. Manakala cawangan di Kuala Selangor dan bandar Melaka telah mula beroperasi minggu ini.

“Saya yakin cawangan di Melaka ini boleh menarik kehadiran pengunjung dari Johor dan Singapura serta pelancong asing yang sentiasa memilih Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Manakala di Kuala Selangor kita sasarkan kepada pengunjung luar yang datang berkunjung ke Bukit Melawati.

Terbaik buat pelanggan

Sejajar dengan pembukaan cawangan baharu dan ulang tahun pertama pembukaan Kafe Eat & Repeat, beberapa penambahan menu baharu akan dibuat bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Menu baharu ini akan dipilih bagi menvariasikan pilihan makanan sedia ada terutama kepada anak-anak kecil dan golongan berkeluarga serta penuntut universiti.

Di Kafe Eat & Repeat, setiap hari Isnin hingga Jumaat pada jam 3 hingga 6 petang, promosi Happy Hour dibuka kepada semua pelanggan. Pengunjung boleh menikmati satu hidangan percuma dengan membuat lima pesanan.

Selain menu istimewa, pengunjung juga boleh mendapatkan beberapa produk industri kecil dan sederhana (IKS) yang turut dijual di kafe ini.

Sempena ulang tahun pertama juga, pihak pengurusan kafe akan memberikan baucar taman tema kepada pelanggan yang bertuah tertakluk kepada terma dan syarat.