JIKALAU sebut mi udang, pelanggan akan mengingati Mi Udang Sungai Udang, begitu juga mi tulang yang sinonim dengan Kampung Singkir Darat, di sini.

Bagaimanapun, pelanggan sebenarnya tidak perlu bergerak jauh semata-mata merasai kedua menu yang menyajikan keenakan hampir sama seperti di destinasi lain.

Di Kuala Kedah, kedai Serambi Suri Corner beroperasi di Jalan Kuala Kedah, Batas Paip menyediakan menu kegemaran ramai dalam pinggan sama.

Pemiliknya, Haniffitriza Hamid, 38, berkata, kedainya yang beroperasi sejak lima tahun lalu menyediakan menu istimewa, iaitu Mee Madu Tiga.

“Sebelum ini, kami dapati ada pelanggan keliru memilih menu ingin dinikmati mereka. Pengalaman itu memberi idea untuk memperkenalkan Mee Madu Tiga.

“Uniknya, pelanggan tidak lagi perlu pening memikirkan apa makanan ingin dimakan mereka sama ada nak makan mi udang ke, ketam ke ataupun tulang,” katanya.

Menurut Haniffitriza, Mee Madu Tiga memenuhi cita rasa pelanggan kerana membolehkan pelanggan menjamah lauk kegemaran dalam satu pinggan.

Mee Madu Tiga.

Antara lain, katanya, kedainya turut menawarkan 13 menu lain seperti laksa dan laksam dijual RM3.50, serta nasi ayam udang istimewa, mi udang, mi tulang dan mi ketam mengikut saiz makanan laut itu.

Katanya, rahsia kelazatan menu disediakan terletak pada saiz dan kesegaran bahan, khususnya udang digunakan dalam makanan disediakan untuk pelanggan.

Menurutnya, dia menggunakan udang gred A dan biasa diperoleh daripada nelayan tempatan untuk dimasak mengikut pilihan pelanggannya.

“Majoriti pelanggan suka udang besar, walaupun saiz besar namun isinya lembut.

"Malah, kami pernah menyediakan udang saiz sebesar tapak tangan. Ramai tidak menyangka, namun teruja untuk menikmatinya,” katanya.

Tambahnya, sambutan pelanggan amat menggalakkan hingga dia perlu menyediakan lebih 10 kilogram (kg) udang setiap hari dan anggaran harga bermula RM20 dan ke atas mengikut saiz udang berkenaan.

Kedai dibuka sejak Disember 2012 beroperasi dari jam 3 petang hingga 9 malam setiap hari kecuali Khamis.