SEBUT sahaja Muar, pastinya kebanyakan individu langsung membayangkan sajian utama yang menjadi identiti daerah ini iaitu mi bandung.

Malah, menu berkenaan tidak sukar diperoleh berikutan lambakan gerai menyajikan hidangan tersebut kerana ia memang mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung luar.

Bagi pemilik gerai Mee Bandung Abu Bakar Hanifah, dia mengakui mi bandung mendapat permintaan tinggi sehinggakan gerainya sering menerima kunjungan pelanggan dari serata negeri.

“Setiap hari saya terima pelanggan yang datang dari pelbagai negeri termasuk negara luar, kebiasaannya dari Singapura dan Jepun.

“Kebanyakan yang datang ke sini bukanlah kerana kebetulan, tapi memang tujuan untuk rasa sendiri mi bandung Muar yang saya jual ini. Alhamdulillah, pertama kali makan pun mereka sukakannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Abu Bakar Hanifah, 67, berkata, perniagaannya itu diwarisi daripada Allahyarham bapanya yang juga antara individu terawal memperkenalkan mi bandung.

“Keluarga ayah berasal dari India dan mereka berhijrah ke sini sebelum buka perniagaan pada 1930. Ketika itu, mereka jual pelbagai juadah termasuklah mi bandung.

“Jika dilihat sejarah mi bandung ini, ia adalah makanan yang mempunyai hubung kait dengan masyarakat India sebenarnya. Tambahan pula ketika itu, makanan ini tak mudah diperoleh seperti hari ini kerana tak ramai menjualnya dan agak kurang popular,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Abdullah, di sini.

Menurut Abu Bakar lagi, dia yang ketika itu berusia 7 tahun sering membantu bapanya di gerai dengan bekerja sebagai pencuci pinggan.

“Pengalaman bantu ayah akhirnya memberi manfaat apabila saya berjaya meneruskan perniagaan ini pada 1961.

“Resipi yang ayah ajarkan dahulu saya kekalkan sampai sekarang tanpa bahan-bahan tambahan. Mi bandung Muar asli sebenarnya terletak pada jumlah udang kering tanpa dicampur kacang seperti yang kebanyakan peniaga lakukan hari ini,” katanya yang kini menguruskan perniagaan itu sambil dibantu isteri dan anaknya.

Abu Bakar berkata, bukan sahaja mi bandungnya diminati, malah pes yang dihasilkan turut mendapat permintaan.

“Sebelum ini kita memang tak jual pes sebab kita hanya berniaga makanan. Tapi bila pelanggan sungguh-sungguh mahu beli sampai sanggup bungkus pes ini buatkan kami tak mampu nak tolak.

“Tak terlintas pun untuk jual pes ini secara besar-besaran seperti sekarang, namun ia atas saranan Menteri Pertanian ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Fama minta kami jualnya di dalam bekas agar mudah dipromosikan,” katanya.