SALAH satu tarikan terbaharu di Resorts World Genting ialah pengalaman merasai keenakan makanan di pusat beli-belah Sky Avenue yang menggamit kedatangan mereka menggelarkan diri sebagai kaki makan.

Piza yang berasal dari Brooklyn dan East Village itu telah membuatkan penulis kolum makanan di akhbar New York Times memuji ia sebagai restoran piza Itali Neopolitan terbaik di New York.

Dimiliki dan dikendalikan oleh lelaki kelahiran Belgium-Itali, chef Mathieu Palombino membuat piza gaya Neapolitan dalam ketuhar kayu yang diimport dari Itali.

Motorino mempunyai beberapa cawangan di New York, dua di Hong Kong dan Manila, satu di Singapura dan apabila pembukaannya diumumkan pada bulan Disember tahun lepas, ia menjadi restoran yang pertama dibuka di Malaysia.

Motorino memiliki rupa dan rasa ruang lama yang telah diubahsuai, tetapi dengan sedikit kelainan. “Bayangkan bagaimana kedai runcit lama di Amerika dan farmasi pada tahun 1920-an. Ia bukannya tempat mewah dan bukan juga kawasan tumpuan.  

Di Brooklyn ia menjadi tempat persinggahan untuk sekeping piza sedap yang mana mereka bercita-cita menjadi penyanyi tetapi terpaksa bekerja dua syif. Mereka bukannya jenis orang tidak sukakan jenama tetapi mereka mencari makanan terbaik,” ujar Dato Edward Holloway, Naib Presiden Kanan Operasi Hotel Resorts World Genting.

The Motorino di Sky Avenue berkeluasan 4,000 kaki persegi dengan bahagian hadapan bangunan memaparkan tingkap gaya Itali berbingkai emas. Jika dibandingkan dengan cawangan di Hong Kong dan Singapura ruang makannya agak terhad, ini akan menjadikan Motorino di Malaysia yang terbesar setakat ini. Mengekalkan reka bentuk asal cawangan di Amerika, tempat duduk yang disediakan tidaklah mahal atau mewah, sebaliknya ia akan dilengkapi kerusi besi tahun 1920-an dengan warna merah tua.

“Brooklyn pernah menjadi sebahagian dari Ireland pada satu ketika dahulu, maka unsur warna hijau turut akan digunakan yang akan menyerlahkan lagi warna merah tua.Terdapat juga batu marmar putih digunakan sebagai permukaan meja seiring dengan kaunter piza yang menggunakan material sama,” kongsi Holloway.

Paling mencuri perhatian ialah dua ketuhar piza yang didatangkan terus dari Naples, Itali. Penyodok piza pula ditempah khas turut akan menghiasi dekorasi restoran. Penyodok berbentuk dayung ini dibuat daripada sekeping kayu yang turut akan digunakan untuk membuat piza.

Pelanggan akan dapat melihat keseluruhan proses pembuatan piza terkenal Motorino, dengan suasana sejuk bagi memastikan keselesaan pengunjung. Pencahayaan pula akan menggunakan gaya era 60-an bersama-sama bola bersinar Pantone, Motorino bakal menjadi kapsul masa di mana piza diagungkan.

Para pengunjung yang belum berpeluang merasai pengalaman bersama Motorino mungkin akan terkejut dengan  dedikasi mereka berikan dalam pembuatan piza. Selain daripada pilihan antipasto (Pembuka selera Itali yang dimasak atau dimakan mentah yang mengandungi campuran bilis, buah zaiton, sardin, jeruk dan sayur-sayuran) dan piza, bagaimanapun dalam jiwa Itali sebenar, antipasto tidak hanya menghilang rasa lapar sebelum acara utama. Orang-orang Itali tahu bahawa antipasto merupakan sajian pembuka selera.

Maka, pemilihan antipasto Motorino ini akan memberikan peluang pengunjung merasai sendiri kualiti bahan-bahan yang akan digunakan dalam piza mereka. Sebagai bukti, campuran salad sayur-sayuran hijau, arugula dan salad bresaola akan sentiasa memberikan rasa penuh keranggupan dan segar, manakala lada panggang dipenuhi dengan rasa kemanisan semula jadi.

Keju kerbau mozzarella dengan tomato, minyak zaitun dan daun basil segar akan menaikkan rasa dan aroma, manakala salad sotong gurita pasti memberikan rasa sensasi dan segar dengan kombinasi kuntum bunga kaper, kentang, minyak cili, bawang merah serta parsli.

Menjadi satu kekurangan jika sebuah restoran piza tidak menyediakan kepak ayam. Oleh itu Motorino menawarkan beberapa pilihan kepak ayam panggang berperisa lemon, pudina dan serbuk cili. Pengunjung juga boleh menikmati bebola daging Motorino yang dimasak dengan sos tomato ditambah keju pecorino dan daun selasih. Ia hasil gabungan budaya masakan New York dan Itali.

Motorino turut menawarkan lebih daripada 20 pilihan inti yang boleh ditambah kepada piza yang sedia ada.  Ia termasuk kobis Brussel, dua jenis ikan bilis, arugula segar, keju kerbau mozzarella dan keju fior de latte (mozzarella segar yang dibuat dengan susu lembu), bersama-sama dengan bahan-bahan lain seperti ayam belanda, peperoni dan kepah. Bagaimanapun, setiap pengunjung ke Motorino berkata, piza yang dihasilkan sudah cukup sempurna tanpa perlu ditambah apa-apa.

Pengunjung turut boleh membuat pilihan pada 10 menu terbaik yang terdiri daripada marinara, margherita dan pepperoni kepada cita rasa tertinggi Itali (stracchiatella dengan selasih, garam laut dan minyak zaitun; cendawan cremini, sos colatura di alici ditambah keju mozzarella susu lembu, bawang merah, tomato anggur, ikan bilis putih dan garam laut).

Turut ditawarkan adalah piza kobis Brussel dengan keju fior de latte, bawang putih, keju pecorino dan ayam belanda salai; piza kepah  bersama ceri dan telur, pilihan ayam belanda bercili. Harga piza bermula daripada RM45 hingga RM67. Pilihan pencuci mulut pula terdiri daripada tiramisu, kek coklat dan gelato.

Info : Motorino terletak di Aras 1, Sky Avenue.

Waktu operasi: 10:00 pagi hingga 10:00 malam (Ahad hingga Khamis) dan 10:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat, Sabtu, Cuti Umum dan hari sebelum Cuti Umum).