BIDOR - Nekad seorang mualaf di sini, membuka kedai makan sejak 2015 lalu berbaloi apabila resipi memasak mi kari ciptaannya mendapat sambutan baik daripada pelanggannya.

Norsalina Tang Abdullah, 55, mengakui dia tidak pernah menuntut ilmu membuat mi kari daripada sesiapa sebaliknya terus mencuba mencari resipi yang terbaik sebelum dijual kepada pelanggan.

Menurutnya, dia membuka kedai makannya yang dikenali Kedai Mee Kari Lina itu dengan mempertaruhkan pengalamannya selama 12 tahun memasak mi kari.

"Selain mi kari, saya juga menjual mi kicap, mi sup, capati dan nasi lemak yang turut menggunakan resipi sendiri.

"Kebanyakan pelanggan saya gemar menikmati mi kari dan mi kicap," katanya.

Katanya, dia mengambil masa tiga bulan bulan untuk sesuaikan rasa dan tekstur mi kari sebelum dijual kepada pelanggan.

"Alhamdulillah, mi kari yang saya jual mendapat sambutan.

"Malah ada juga pelanggan datang setiap hari untuk menikmati mi kari di sini," katanya.

INFO

Nama: Kedai Mee Kari Lina

Lokasi: Jalan Paku, Kampung Masjid, Bidor

Menu: Mi kari, mi sup, mi kicap, capati, nasi lemak

Waktu operasi:

- Setiap hari kecuali petang Rabu

- Jam 6.30 pagi hingga 12 tengahari

- Buka semula jam 4.30 petang hingga 10 malam