MENU istimewa yang diolah sendiri ternyata menjadi daya penarik kepada pelanggan di Hulu Selangor untuk datang menjamu selera di BurgerByte yang terletak di Bukit Beruntung.

Pengurusnya, Mohd Amsyar Mohd Limi, 26, berkata, menu istimewa itu yang menarik ramai  pelanggan ialah beef bacon burger.

“Beef bacon burger antara menu yang menjadi kegilaan pelanggan selain chicken chilli meat burger dan hot dog.

“Rata-rata pelanggan yang datang ke sini ramai yang pesan beef bacon burger. Mungkin sebab daging burger yang kita olah sendiri resepinya ditambah dengan hirisan daging menjadikannya istimewa selain menambah rasa mewah dalam hidangan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengambil langkah berani memperkenalkan hidangan nasi yang tidak terdapat di cawangan lain.

“Hidangan nasi ini kita kombinasikan dengan hidangan barat. Ia turut jadi pilihan pelanggan yang gemar ambil nasi disamping hidangan barat yang lain.

“Kita sengaja perkenalkan hidangan nasi kerana tidak semua pelanggan gemar makan burger semata-mata. Ramai yang bertanyakan hidangan nasi, jadi kita buat sedikit kelainan,” katanya.

Mengakui cukup berminat dengan perniagaan berasaskan makanan, Amsyar mengambil risiko dengan melaburkan sejumlah RM300,000 sebagai modal permulaan bagi membuka perniagaan itu.

“Saya buka bersama pakcik saya. Alhamdulillah setakat ni sambutan pelanggan sangat menggalakkan terutama sekali pada waktu malam.

“Meja di restoran ni selalunya penuh dan selalunya 100 pelanggan akan datang nikmati hidangan kami di sini setiap hari,” katanya.

Graduan jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal ini juga sangat berpuas hati dengan perjalanan perniagaan yang diuruskan walaupun terpaksa meninggalkan jurusan yang diambilnya satu ketika dahulu.

“Sebab memang minat berniaga, tak mengapalah saya tinggalkan bidang kejuruteraan yang memang jadi minat saya juga.

“Tapi bila berniaga ni saya ada sumber wang sendiri tanpa perlu makan gaji,” katanya.

Katanya, restoran yang berkonsepkan francais itu kini sudah mula dibuka untuk makan tengah hari.

“Sebelum ni kami beroperasi petang sampai malam, tapi kini dah buka jam 12.30 tengah hari hingga 12.30 malam,” katanya.