ROTI canai dah sampai, tapi mana kuahnya? Nak makan apa macam ni?” laung seorang lelaki memecah keheningan pagi di Restoran Chapati Corner Karim’s di Jalan Campbell, Seremban.

Serta-merta, mata setiap pelanggan dalam kedai makan yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan itu tertumpu padanya.

Tanpa berlengah, si pemilik kedai bergegas menenangkan lelaki terbabit yang dianggarkan berusia sekitar 50-an.

“Maaf tuan, kuah kena cedok sendiri. Saya sangka, tuan dah biasa makan di sini. Maaf sekali lagi,” jelasnya dalam nada cukup sopan bagi meredakan kemarahan pelanggan itu.

Demikian salah satu pengalaman menarik Abdul Karim Satar Din, 75, yang sempat dikongsikan bersama penulis, sepanjang mengusahakan kedai makan berkenaan sejak 23 tahun lalu.

Bagi yang biasa bertandang ke Restoran Chapati Corner Karim’s, masing-masing sudah sedia maklum dengan keunikannya.

Noorhasanah (kanan) dan rakan-rakan menunjukkan pinggan yang habis licin ekoran terlalu sedap.

Di Negeri Sembilan, hanya kedai itu yang mengamalkan konsep mengambil kuah secara layan diri. Kuah ditawarkan pula pelbagai jenis.

Selain boleh tambah kuah pada bila-bila masa, mahu gabung padan (mix and match) atau campur semuanya pun tiada masalah.

Jimat tenaga kerja

Menurut pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah menabur bakti selama 33 tahun ini, selain menjadi tarikan kepada pelanggan, konsep tersebut diguna pakai untuk menjimatkan tenaga kerja.    

“Lagipun bila pelanggan pilih sendiri, lebih menepati citarasa mereka berbanding kami yang hidangkan macam di kedai lain.

“Dulu kami sediakan lebih kurang 10 jenis kuah. Tapi sejak enam bulan lalu, tinggal enam tujuh kuah saja sebab yang berasaskan ikan macam tenggiri, selar dan kembung tak berapa dapat sambutan.

Salah seorang pelanggan, Mohd Najib Baharudin, 34, sedang mencedok kuah.

“Apa yang kami ada sekarang kuah ayam masala, kambing masala, daging kima, sardin, kari ayam, kari kambing serta kuah berasaskan sayur-sayuran bagi vegetarian,” katanya.

Lebih menarik, katanya, setiap kuah yang dijual tidak dicampur dengan santan walaupun rasanya cukup pekat dan menyengat.            

“Sebaliknya kami lebihkan rencah lain untuk seimbangkan rasa macam guna banyak bawang besar, bawang putih dan halia.

“Tak mahu letak santan dalam masakan, sebab nak kurangkan risiko penyakit,” katanya seraya tertawa.

Bercerita lebih lanjut, kata Abdul Karim, pihaknya mampu menjual antara 100 hingga 200 keping roti canai, capati, tose dan puri dalam sehari ekoran tarikan diketengahkan.

“Harga untuk sepiring besar kambing dan ayam RM7, manakala piring kecil RM5. Sardin RM4 bagi piring besar dan RM2 piring kecil. Sama juga dengan daging kima.

“Kuah berasaskan sayur-sayuran pula, harganya RM3 untuk piring besar dan kecil. Tapi kalau pelanggan sekadar ambil kuah tanpa isi, tiada cas apa-apa walaupun dicampur semua jenis.  

“Sepanjang berniaga selama ni, nampaknya kuah ayam dan kambing masala paling jadi tumpuan pelanggan,” katanya mengakhiri bicara.

Lokasi kegemaran bersarapan

Seusai bersarapan bersama Abdul Karim, penulis sempat bersembang dengan beberapa pelanggan di situ dan bertanyakan reaksi mereka terhadap kedai makan berkenaan.

Bagi Noorhasanah Shaari, 34, Restoran Chapati Corner Karim’s menjadi lokasi kegemarannya untuk bersarapan bersama rakan-rakan sejak 11 tahun lalu.   

“Kuahnya memang sedap, kemudian banyak pilihan. Saya paling suka kuah dal campur dengan kuah kambing. Kalau dua tu dah habis, saya akan ambil kuah daging kima.

“Rasa masakannya dari dulu, langsung tak berubah. Harap konsep ni dapat dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, Khairal Afiq Jamal Abd Haziq, 31, cukup tertarik dengan kelainan ditampilkan kedai makan tersebut.

“Ini kali ketiga saya makan di sini. Mula-mula datang dulu, terkejut juga sebab mereka tak beri kuah masa hantar makanan dipesan.  

“Setakat ni, belum pernah jumpa lagi kedai yang biarkan pelanggan cedok sendiri kuah untuk dimakan dengan roti canai dan capati. Biasanya kita kena minta dengan mereka,” katanya.