TIDAK sah ke Pahang jika tidak merasai ikan patin masak tempoyak yang menjadi antara menu popular di negeri itu terutama di Temerloh.

Harganya juga agak mahal bergantung jenis ikan patin yang ditawarkan dengan harga RM8.00 hingga RM10.00 sepotong bagi jenis ikan patin sangkar.

Bagaimanapun, harga lebih murah iaitu RM5.00 dengan hidangan set claypot bersama nasi, salad dan sambal belacan boleh didapati di Iela Delicious Cafe yang beroperasi di tingkat 1 bangunan Arked Mara Kuala Rompin, di sini.

Peniaga, Norzilawati Baharudin, 32, baru sahaja memulakan perniagaannya itu pada Februari lalu dan sambutan diterima sangat baik.

Menurutnya, demi mengekalkan rasa original masakan, dia tetap menjualnya dengan harga lebih murah.

“Bagi orang yang gemar makan masakan ini, mereka tentu tahu memang tak dapat nak makan dengan harga begini, tambah pula rasa yang original.

“Saya boleh tawarkan harga lebih murah selepas membuat kiraan kos setiap bahan seperti tempoyak dan ikan yang sudah tentu patin sangkar sungai, jadi inilah hasilnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Norzilawati berkata, kedai makannya kini menjadi pilihan kepada pengunjung luar atau orang yang berasal dari Pahang barat namun bekerja di kawasan itu.

“Kuala Rompin adalah kawasan pinggir pantai yang lebih terkenal dengan makanan laut tapi kalau mencari ikan patin masak tempoyak di kawasan ini boleh ke kedai saya dan dah tentu harga lebih murah,” katanya.