SETIAP hari sekurang-kurangnya 60 ekor ayam dan 15 kilo ikan dibeli untuk menjalankan perniagaan nasi dan lauk campur.

Modal dikeluarkan kadangkala turun dan naik mengikut harga semasa, namun ia tidak dijadikan alasan pengusaha gerai makan, Rosmawati Awang Mohamad, 48, untuk menaikkan harga makanan dengan sewenang-wenangnya di Medan Selera Semambu, Kuantan, Pahang.

Katanya, selama 10 tahun menjual hidangan masakan berlauk di premis yang disewanya itu, dia masih mampu mengekalkan harga sama.

“Rata-rata pelanggan saya berpuas hati dengan harga diberikan terutama bila mengambil harga pakej yang disediakan iaitu nasi berlaukkan ayam atau ikan dan sayur berserta air hanya RM4 sahaja.  

“Namun begitu, ia bergantung juga pada selera masing-masing untuk memilih lauk, namun jika mereka makan sekurang-kurangnya tiga jenis lauk, ia masih dalam anggaran RM6 hingga RM7 bersama nasi putih dan air,” katanya yang menyediakan sendiri hampir 50 jenis masakan.

Katanya, walaupun tidak menaikkan harga makanan, dia masih mendapat keuntungan walaupun tidak banyak, memandangkan pelanggan yang datang tidak putus-putus.

Menurutnya, dia berasa lebih puas hati apabila segala yang dijual disukai pelanggan, lebih-lebih lagi pada harga, saiz dan rasanya.

“Selain itu saya gembira juga memandangkan dengan harga murah barang jualan pula habis pada setiap hari tanpa pembaziran,” katanya.

Sementara itu, Rosmawati berkata, dari awal dia sememangnya memasang niat untuk menjual hidangan lebih murah dan berbaloi.

“Sebelum berniaga saya pun bekerja dan keluar makan di gerai mahu pun restoran, memang merasakan makanan dijual agak maha.

“Jadi selepas berhenti kerja dan mula meniaga 10 tahun lalu, saya memang berazam untuk memberi kepuasan kepada pembeli, tambahan pula saya berniaga di tempat tumpuan pelajar dan pekerja kilang, jadi tidak meletakkan harga yang tinggi kepada mereka,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.