KEMAMAN - Menu nasi goreng ikan sememangnya sudah sinonim dengan orang Terengganu kerana hidangan itu gemar dimasak oleh orang tua dari dahulu hingga kini.

Untuk mempopularkan lagi hidangan yang biasanya hanya dimasak golongan ibu di rumah itu, Che Mad Cafe yang terletak di belakang Hotel Shafura di Jalan Kampung Banggol Kiri, Chukai, Kemaman, tampil menjual nasi goreng ikan pinggan besar dengan harga serendah RM5 sepinggan.

Pemilik Che Mad Cafe, Mohd Nazri Sulong, 32, atau mesra dengan nama gelaran Kojoe berkata, walaupun premisnya itu berstatus kafe, namun ia bukan alasan untuknya meletakkan harga mahal.

“Saya nak semua pelanggan dapat rasa kesemua menu yang dijual di kafe ini terutama menu nasi goreng ikan yang jarang didapati di kedai-kedai makan lain.

“Resipi nasi goreng ini adalah turun temurun dari keluarga saya dan setakat ini, maklum balas yang saya terima untuk hidangan ini sangat positif kerana bagi mereka yang pernah makan nasi ini goreng ini, mereka mengakui teringat kembali kenangan zaman kanak-kanak,” katanya.

Che Mad Cafe baru sahaja dibuka tiga bulan lalu dan beroperasi setiap hari dari jam 11 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Mohd Nazri berkata, meskipun baru sahaja dibuka, namun kafenya sudah mempunyai pelanggan tetap termasuk yang menggemari menu nasi goreng ikan tersebut.

“Pelanggan yang pernah makan di sini biasanya akan datang makan semula, namun kami juga harap lebih ramai pelanggan yang baharu akan datang. Kami juga banyak terima tempahan untuk majlis keraian,” katanya.

Sementara itu chef kafe berkenaan, Yusof Ahmad, 45, berkata, cara menyediakan nasi goreng ikan itu sangat mudah kerana hanya memerlukan ramuan cili kering, bawang putih, bawang merah, garam, belacan dan ikan selayang.

“Nasi goreng ikan ini juga boleh ditambah ayam atau puyuh tapi harganya lain iaitu masing-masing RM7 dan RM8 sepinggan,” katanya sambil memberitahu kafe itu menjual pelbagai menu termasuk makanan Barat dan yang beridentitikan Terengganu iaitu ikan singgang dan ikan singgang pedas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.