TIDAK mementingkan keuntungan semata-mata menjadi prinsip kepada seorang pengusaha kedai makanan di Tangkak, Johor, apabila tekad menjual hidangan utama di gerainya iaitu nasi ayam penyet dan pecel lele (nasi ikan keli) dengan harga serendah RM5 sepinggan.

Muhari Markas, 49, berkata, kesanggupannya untuk menjual makanan itu pada harga murah kerana tidak mahu segala bahan makanan yang dijualnya itu disimpan sehingga keesokan hari bagi mengekalkan kualiti rasa.

“Saya lebih pentingkan prinsip biar untung sikit, tapi stok habis. Itu yang saya terapkan sejak awal ceburi bidang perniagaan ini.

“Dahulu saya pernah menjual sama seperti harga pasaran biasa iaitu RM8 sepinggan, namun bila lihat makanan tidak habis dijual, saya berasa sedikit kecewa,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, disebabkan harga yang ditawarkan itu murah, gerai yang dibuka sejak 2011 di Jalan Tanjung Agas tidak putus-putus menerima pelanggan.

“Gerai ini menerima kunjungan pelanggan setiap hari sekitar 60 ke 90 orang pada satu malam.

“Walaupun kedatangan pengunjung agak ramai, saya tetap hadkan jualan iaitu sekitar 100 ke 150 hidangan sehari kerana tidak mahu pembaziran. Alhamdulillah, melalui cara tersebut, menu ini dapat dijual hingga laris,” katanya.

Akuinya, walaupun keuntungan tidak sebesar mana, dia tetap berpuas hati kerana dapat kekalkan kuantiti makanan dengan harga rendah.

“Saya bersyukur walaupun keuntungan tidak terlalu banyak, ia lebih daripada cukup untuk saya sekeluarga. Dalam sebulan saya mampu meraih pendapatan bersih RM5,000 hingga RM6,000.

“Perniagaan ini beroperasi bermula jam 7 malam sehingga 12 malam pada setiap hari kecuali  Khamis. Walaupun operasi perniagaan berakhir jam 12 malam, kebiasaannya kami terpaksa tutup awal kerana makanan telah habis dijual,” katanya.

Menurut Muhari, perniagaan yang diusahakannya itu menarik kedatangan ramai pengunjung termasuk dari Melaka dan Batu Pahat.

“Saya bersyukur walaupun keuntungan diterima tidaklah berlipat ganda, perniagaan ini dapat dikembangkan apabila saya berjaya buka sebuah lagi cawangan di Parit Karang, tiga tahun lalu,” katanya.