BEBANAN kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang semakin meruncing ketika ini memberi idea kepada pasangan suami isteri dari Bandar Putra, Kulai, Johor, menjual menu nasi alas perut berharga RM2 sahaja.

Pekerja Kilang, Mohd Razalei A Rahim, 40, berkata, dia mula menjual nasi bungkus berkenaan secara kecil-kecilan dengan membuka gerai sementara di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Saleng, sejak dua bulan lalu.

“Rakan-rakan ramai yang merungut dengan kenaikan harga barang malah saya sendiri terkesan dengan situasi ini dan idea untuk menjual nasi alas perut ini datang secara spontan.

“Buat permulaan kami menyediakan menu nasi putih yang siap dibungkus bersama sayur kacang, sambal belacan dan pilihan lauk ungkep ayam, daging atau ikan tongkol pada harga RM2 sahaja,” katanya.

Katanya, jualan nasi bungkus itu diusahakan secara sambilan pada setiap cuti hujung minggu bersama isterinya, Hanizam Mohd Aris, 37, yang akan memasak nasi dan lauk seawal jam 4 pagi.

“Sejak dua bulan lalu saya dan isteri membuka gerai sementara di sini sejak dari jam 6 pagi hingga 11 tengah hari pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Biasanya kami berjaya menjual kira-kira 70 bungkus nasi sehari. Nasi ini sesuai dimakan sebagai sarapan atau makan tengah hari kerana mampu bertahan sehingga lewat petang,” katanya.

Katanya, pada hari biasa antara Isnin hingga Jumaat mereka turut menerima tempahan daripada pelbagai pihak yang ingin mengadakan jamuan atau kenduri.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia tidak mengutamakan margin keuntungan tinggi tapi berpuas hati dapat menyediakan makanan untuk menambah pendapatan keluarga sambil bersedekah.

“Saya gembira apabila ramai pelanggan yang datang semula membeli nasi bungkus yang kami sediakan. Walaupun keuntungannya tidak besar tetapi kami lakukan ini secara santai sambil bersedekah,” katanya.

Mohd Razalei berkata, dia turut merancang meneruskan perniagaan itu dengan lebih serius pada masa akan datang untuk memasuki pasaran pasar tani atau medan selera bagi meraih jualan lebih tinggi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SESUAI dengan namanya nasi goreng udang atau sotong banjir, setiap hidangan dipenuhi udang dan sotong membuatkan pelanggan yang memesan tidak sabar menikmati hidangan menyelerakan itu.
  • ROTI canai dah sampai, tapi mana kuahnya? Nak makan apa macam ni?” laung seorang lelaki memecah keheningan pagi di Restoran Chapati Corner Karim’s di Jalan Campbell, Seremban.
  • "BIAR betul chicken chop, nasi ayam RM3.90,” Itu mungkin antara persoalan yang keluar dari mulut orang ramai tatkala bertandang ke kedai makan milik Amirruddin Mat, 49, di Kompleks Perniagaan Pokok Sena, Kepala Batas.
  • KEMAMAN - Menu nasi goreng ikan sememangnya sudah sinonim dengan orang Terengganu kerana hidangan itu gemar dimasak oleh orang tua dari dahulu hingga kini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.