SERENDAH RM6.50, penggemar makanan barat boleh menikmati set Chicken Chop dan Teh O di Red One Grill Station terletak di Medan Selera Jalan Sungai Pusu, di sini.

Beroperasi di lokasi baharu sejak lima bulan lalu, ternyata strategi menawarkan harga murah itu berjaya menambat hati pelanggan.

Pemiliknya, Shirajul Baris Haja Alavudeen, 29, berkata, niatnya meletakkan harga rendah setara kemampuan sekali gus memberi kepuasan kepada pelanggan.

Menurutnya, bagi mempromosi operasi kedainya di lokasi baharu, dia menawarkan harga RM5 bagi set tersebut selama sebulan.

“Selepas tempoh diskaun tamat, pelanggan boleh nikmati hidangan dengan harga RM6.50 yang masih murah dan tidak terdapat di kedai lain.

"Walau tawar harga rendah kami sangat menjaga kualiti hidangan dan rasanya. Jika kebanyakan kedai menggunakan bahagian dada ayam untuk hidangan itu, kami memilih bahagian yang lebih lembut dan berlemak.

“Sosnya pula kami masak sendiri dihidang bersama kentang lenyek yang istimewa,” katanya.

Beliau turut menawarkan harga RM50 bagi lima set hidangan ayam panggang atau daging panggang yang disertakan dengan sosej dan hidangan tambahan.

“Kalau harga satu set bujang kami letak RM11, tapi kalau untuk set berdua jadi RM20. Kami kekalkan harga kerana faham keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walaupun murah dan untung tak banyak tapi perniagaan masih menggalakkan dan mempunyai pelanggan tetap. Sehari boleh terjual antara 100 dan 120 set tidak termasuk menu tambahan lain,” katanya.

Bagi mempelbagaikan menu, kedainya turut memperkenalkan set char kuey teow berharga RM5 yang dihidang bersama air dan set nasi chicken chop serta air dengan harga serendah RM7.

“Kedai kami beroperasi setiap hari bermula jam 2 petang sehingga 11 malam,” katanya yang menawarkan khidmat katering.