ALOR  GAJAH - Seorang peniaga burger masih mampu mengekalkan harga semurah  RM1.50 bagi sebungkus burger biasa yang dijual sejak 12 tahun lalu.

Suprisno Sugianto, 54, atau lebih mesra dengan panggilan Wak berkata, dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga burger dan tidak kisah biarpun hanya mendapat keuntungan yang minimum kerana niatnya adalah untuk berniaga sambil bersedekah walaupun dia juga bukanlah dari keluarga yang berada.

Menurutnya, kesusahan yang pernah dilalui menjadi penyuntik semangat untuk dia yang bekerja tetap sebagai pembantu stor berkongsi rezeki dengan orang lain menerusi jualan burger yang dinamakan Wak Burger dengan harga mampu milik di Taman Kasawari Durian Tunggal bermula pada 2005.

"Saya tak sampai hati nak naikkan harga burger walaupun bahan mentah seperti sos cili, mayonis dan harga telur yang tidak tetap memberi tekanan tapi niat saya untuk membantu dan membuat burger yang sedap dan terbaik.

"Dapat untung sedikit pun tak apa dan hasil menjual burger juga saya bersyukur dapat menyara anak yatim dan cucu selain isteri saya yang juga warga emas," katanya kepada Sinar Harian.

Selain burger biasa, dia turut menjual beberapa jenis burger lain termasuk benjo, 'burger triple, oblonh burger special' dan lain-lain lagi hingga harga RM3.

Wak Burger yang popular dengan harga burger murah di Durian Tunggal, Alor Gajah.