DI saat rata-rata peniaga mula merungut mengenai kenaikan harga barang, pengusaha kedai makan di Dataran Gua Musang, Kelantan membuat promosi makanan harga tidak masuk akal.

Mana tidaknya, harga sepinggan mi rebus, mi goreng dan pelbagai jenis masakan panas bermula dari harga RM2.50 tanpa mengurangkan kuantiti hidangan.

Menurut pemiliknya, Sairatul Noor Ashikin Saija, 30, sejak tiga bulan lalu, kedai yang diusahakan bersama keluarga suaminya itu mula menetapkan harga jauh lebih murah berbanding sebelum ini.

Katanya, langkah ini diambil setelah memikirkan beberapa perkara termasuk menarik pengunjung ke bangunan kedai berkenaan yang semakin dipandang sepi selepas banyak kedai dibuka di bandar Gua Musang.

“Ibu mertua saya, Siti Zabidah Deris mula mengusahakan perniagaan kedai makan di sini sejak 25 tahun lalu. Namun, sejak insiden kebakaran di stesen minyak bersebelahan kedai kami tiga tahun lalu, lokasi ini sudah tidak menjadi pilihan pengunjung.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan kami dan beberapa kedai lain yang berada di sini. Malah, ada yang memilih untuk menutup kedai. Setelah fikir masak-masak, kami nekad untuk menurunkan harga separuh dari asal demi melihat pengunjung kembali datang ke kedai.

“Kalau tanya soal untung, memang nipis, namun ini cara terbaik kami tarik pelanggan. Alhamdulillah, sejak tiga bulan lalu, pelanggan semakin ramai dan kami mampu meningkatkan pendapatan dari RM500 kepada RM1,500 hingga RM2,000 sehari,” katanya lagi.

Tambah Ashikin, kedai yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah malam ini turut menyediakan hidangan paling murah, Nasi Ayam serendah RM1.50 dan Air Teh O Beng RM0.50.

Selain itu, Ashikin memberitahu, hidangan Nasi Kukus Ayam Kampung juga antara termurah iaitu RM3 sahaja.

“Walaupun harga kami tetapkan lebih murah, namun cita rasa masih dikekalkan dan Alhamdulillah, setakat ini, ramai pelanggan berpuas hati dengan hidangan kami.

“Bagi masakan seperti aneka nasi goreng, kami menyediakan dengan harga dari RM3.50 hingga RM5, bergantung kepada pilihan pelanggan. Untuk hidangan set pula, kami menawarkan harga RM45, hidangan lengkap untuk empat hingga enam orang.

“Untuk hidangan siakap sahaja, kami meletakkan harga RM16 untuk saiz kecil manakala RM18 untuk saiz besar. Insya-ALLAH, harga ini akan kekal. Namun, sekiranya berlaku kenaikan harga barang, mungkin harga akan naik sedikit, namun masih dalam kategori mampu makan,” katanya lagi.