SESUAI dengan namanya nasi goreng udang atau sotong banjir, setiap hidangan dipenuhi udang dan sotong membuatkan pelanggan yang memesan tidak sabar menikmati hidangan menyelerakan itu.

Melihat pada sajian tersebut, pasti kecur air liur apatah lagi dengan  harga hanya RM8 sepinggan, pelanggan dapat menikmati 12 udang segar.

Aroma dan warna udang goreng yang kemerah-merahan itu membuatkan pengunjung tidak sabar untuk menikmatinya sebaik pesanan tiba di meja.

Beberapa sajian lain juga seperti nasi goreng kambing ngosek, nasi goreng komando, nasi bungkus udang petai, nasi goreng meatball dan nasi goreng kepak ayam, mihun goreng kambing dan nasi goreng sotong cendawan turut ‘menggoda’ selera pengunjung.

Semuanya hanya RM8 sepinggan.

Kepelbagaian juadah masakan yang mampu disajikan tersebut amat bersesuaian dengan nama kedai yang diberikan iaitu Selera D’Shahzan.

Tindakan berani pengusahanya sedikit sebanyak menarik orang ramai berkunjung menjamu selera dengan pelbagai pilihan masakan panas, masakan barat, aneka jenis aiskrim dan minuman istimewa yang tiada di tempat lain.

Walaupun harga bahan mentah semakin meningkat seperti makanan laut, daging kambing dan kepingan ayam, namun pemiliknya, Saisara Farina Ahmad Afandi, 30, tidak merasakan ia satu bebanan, sebaliknya dia berpuas hati dengan kehadiran pelanggan yang sering mengunjungi kedai.

“Saya mahu setiap pelanggan yang menjamu selera di sini pulang dengan gembira kerana harga yang dibayar bersesuaian dengan makanan yang dinikmati. Saya lebih mengutamakan kepuasan pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedai makannya yang terletak berhampiran tangki air di kawasan perumahan Taman Shahzan di Kampung Tiram, Kuantan, Pahang.

Jelasnya, untuk nasi goreng kambing ngosek yang semakin popular di kalangan pelanggan, dalam seminggu dia memerlukan antara 15 hingga 10 kilogram daging kambing hanya untuk sajian berkenaan.           

Selera D’Shahzan juga menawarkan masakan barat yang sentiasa digemari ramai seperti chicken chop, chicken grill, meatball dan sajian istimewa bersama nasi goreng pada harga antara RM5 hingga RM17 setiap hidangan.