TATKALA harga bahan mentah melambung tinggi di pasar, orang ramai yang berada di sekitar daerah Seremban tidak perlu bimbang untuk mendapatkan hidangan makan tengah hari yang enak dan mengenyangkan dengan harga serendah RM4.

Kedai makan 1MBistro yang terletak di Plaza Mara Seremban di sini, menawarkan pelanggannya harga bajet mengikut kesesuaian makanan yang disediakan.

Dengan hanya menawarkan harga makanan RM4 sehingga RM8, pelanggan di kedai makan ini boleh menikmati juadah makan tengah hari dan malam mereka dengan puas serta penuh berselera.

Nasi putih, berlaukkan ikan atau ayam, sayur dan air, itulah menu bajet yang disediakan Norehan Ahmad, 44, pada waktu makan tengah hari bagi menarik perhatian orang ramai untuk singgah makan di kedainya.

Pada sebelah malam pula, dua set hidangan mungkin menepati selera anda. Set tomyam dimakan bersama telur dadar dan nasi panas, atau nasi putih dan ikan goreng masam manis mungkin menjadi pilihan anda. Harganya pula sudah tentu boleh buat anda tersenyum iaitu RM8 sahaja.

Menurut Norehan, niatnya bukan hanya mencari rezeki halal dengan berniaga tetapi pada masa yang sama adalah untuk bersedekah.

“Lauk yang kita sediakan setiap hari adalah berbeza dan akan ditukar setiap hari menunya.

“Selain ayam, kita juga turut menyediakan pilihan lauk berasaskan ikan, daging dan juga telur itik yang dimasak lemak cili padi. Setiap set makanan yang disediakan, kita akan memberi minuman secara percuma yang boleh ditambah sebanyak mana yang mereka mahu, kerana niat saya hanyalah mahu bersedekah,” katanya.

Menurutnya, pada setiap hari Jumaat pula, kedai ini akan memberikan bubur manis secara percuma kepada pengunjung, antaranya bubur kacang hitam, bubur kacang hijau, bubur jagung dan bubur cha cha.

Orang ramai yang berada di sekitar Seremban bolehlah singgah ke kedai ini, bagi mendapatkan makanan tengah hari dengan harga RM4 sahaja termasuk air pelbagai perisa, dan menu set malam hanya RM8.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :