PILIHAN lebih 50 juadah lauk kampung, kuih, martabak, set makanan barat menjadikan Barracuda Cafe menjadi satu hentian untuk penduduk Saujana Utama membeli menu berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.

Gandingan pelbagai menu hasil air tangan Sofiani Udin, 31, bersama Rashidah Mansor, 40, ternyata menjadi pilihan wajib untuk penduduk tanpa perlu bersesak di bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka.

Menurut Sofiani, menu barat dengan resepi tersendiri dan set tomyam mampu milik menjadi tarikan untuk pelanggan bermula jam 6 petang sehingga 12 malam sepanjang Ramadan.

“Untuk bulan puasa, kita mula operasi pada jam 3 petang sehingga 12 malam dan jika hari biasa, operasi bermula pagi dengan juadah sarapan pagi seperti nasi lemak, martabak keju dan kuih.

“Resipi makanan barat yang dipelajari dengan chef sebuah hotel terkemuka menjadi pilihan pelanggan sehinggakan saya turut menjual ‘chicken chop’ dan ‘lamb chop’ sejuk beku kerana permintaan tinggi.

Sofiani menunjukkan menu makanan barat yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

“Memang saya sangat minat dalam bidang masakan ni sejak zaman ‘study’ lagi dan bila dapat berganding dengan Kasih Sepakat Katering yang dikendalikan Rashidah bersama suaminya, Khairul Annuar Jalaluddin, sambutan luar biasa.

“Bila kita jual menu pelbagai dengan banyak pilihan, pastinya penduduk tak perlu nak pergi banyak tempat sebab semuanya ada di sini,” katanya yang beroperasi di Jalan Jati 3, Saujana Utama.

Sementara itu, Rashidah turut bersyukur sambutan yang cukup memberangsangkan terutamanya pelanggan setia meskipun sudah berpindah ke tapak niaga baru.

“Saya percaya, pelanggan tetap setia dengan menu kerana kualiti sebab saya cukup pentingkan kualiti dan harga jadi nombor dua…sebab tu kalau lebih 30 menu masakan kampung boleh licin sekejap saja.

“Menu paling laris yang menjadi pilihan pelanggan adalah telur itik masak lemak pucuk ubi, udang masak tempoyak petai, asam pedas dan siput sedut masak lemak cili padi.

“Yang penting, kita mudah berurusan dengan Sofiani dan masing-masing jual menu berbeza sekali gus menjadi tarikan penduduk terutamanya pelanggan tetap yang datang tak kira masa.

“Selain menu sedia ada, kita juga buka tempahan iftar seperti mi kari, mi jawa, mihun sup, nasi ayam dan makanan barat bagi yang berminat,” katanya kepada Sinar Harian.